Teguh bersama PN, Pas nekad berdepan UMNO dalam PRU15

Teguh bersama PN, Pas nekad berdepan UMNO dalam PRU15

PAS akan bersama Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15, kata presidennya Abdul Hadi Awang, selepas mesyuarat jawatankuasa kerja pusat parti yang memuktamadkan hala tuju parti Islam itu menuju pilihan raya.

“Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang diadakan pada hari ini, 13 Oktober membuat keputusan… memperkukuhkan kerjasama dalam PN untuk menghadapi PRU15, atas prinsip penyatuan ummah,” umumnya dalam satu kenyataan ringkas.

PAS juga memutuskan akan memuktamadkan perbincangan kerusi-kerusi di negeri dengan PN, kata Hadi.

“Senarai calon daripada negeri perlu diangkat untuk penilaian Majlis Syura Ulama,” katanya.

Keputusan muktamad PAS ini dibuat lebih kurang dua minggu selepas Abdul Hadi bertemu dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang juga pengerusi PN.

Pertemuan pada 26 September itu disertai Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar serta Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu dan naib presidennya Mohd Radzi Jidin.

Pertemuan berlangsung ketika Bersatu dan PAS secara terbuka dilihat berbeza pendirian untuk menghadapi PRU15.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan sebelum itu tiga kali menegaskan parti Islam itu masih menganggap Umno rakan kerjasama politiknya sementara Muhyiddin menyuarakan pendirian Bersatu bahawa Umno dan Barisan Nasional adalah musuh PN.

Selepas percaturan politik Langkah Sheraton, PAS dan Bersatu membentuk PN yang turut disertai dua parti dari Sabah iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP), dan kemudian Gerakan.

PAS sebelum itu menjalin kerjasama dengan Umno pada September 2019, ketika dua parti Melayu itu pembangkang, untuk menghadapi kerajaan Pakatan Harapan.

Kerjasama atas nama Muafakat Nasional itu luntur selepas PAS memutuskan bersama PN dalam pilihan raya negeri di Melaka dan Johor.

Beberapa pemimpin PAS bagaimanapun kemudian menggerakkan kempen untuk menggandingkan semula parti Islam itu dengan Umno atas alasan untuk menyelamatkan hampir 30 kerusi Parlimen daripada dimenangi PH sekiranya berlaku pertembungan banyak penjuru. – 13 Oktober, 2022.