Teka-teki bagaimana polis mampu tembak sendiri 3 bahagian di badannya terungkap

Teka-teki bagaimana polis mampu tembak sendiri 3 bahagian di badannya terungkap

Kes kematian anggota polis yang ditemui mati dengan tiga kesan tembakan pada badan di Balai Polis Bayan Lepas, di sini, pada 19 Februari lalu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan polis berhubung kes tersebut telah selesai dan pihaknya mendapati tiada pembabitan unsur jenayah.

“Kesan daripada bedah siasat dan lawatan patologi ke tempat kejadian, ia konsisten dengan dapatan pertama kita bahawa ia adalah satu tindakan bunuh diri.

“Siasatan kita setakat itu saja dan kita akan hantar kepada inkues selepas ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Mohd Shuhaily, pihaknya meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut dan mengaitkan dengan kes jenayah berikutan kes tersebut telah selesai.

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan anggota polis berpangkat Sarjan ditemui maut dengan tiga kesan tembakan pada leher, kepala dan dada di belakang Balai Polis Bayan Lepas di sini.

Mayat mangsa berusia 51 tahun yang berasal dari Sarawak itu ditemui kira-kira jam 3.30 petang bersama sepucuk pistol.