Teka-teki mengapa penceramah popular enggan dapatkan tauliah mengajar akhirnya terbongkar, ini tiga puncanya

Teka-teki mengapa penceramah popular enggan dapatkan tauliah mengajar akhirnya terbongkar, ini tiga puncanya

Isu melibatkan seorang personaliti popular tanah air yang dilarang menyampaikan kuliah di sebuah masjid baru-baru ini telah menimbulkan gempar terhadap masyarakat beragama Islam di negara kita baru-baru ini.

Media tempatan melaporkan insiden melibatkan Azhar Idrus yang digelar ‘Daie Sejuta Ummah’ oleh pengikutnya yang telah dihalang menyampaikan kuliahnya di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong oleh Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) gara-gara ketiadaan tauliah mengajar agama Islam di negeri tersebut.

Belum pun reda isu tersebut, timbul pula isu sama melibatkan seorang lagi penceramah terkenal, Wadi Annuar di Perlis.

Program Solat Terawih dan Sembang Santai Bersama Ustaz Wadi Annuar di Markaz Tarbiyah Pas Kawasan Kangar, Kompleks Pendidikan MATIN, Kampung Abi, Padang Machang, kecoh selepas diserbu kerana didakwa dianjur tanpa mendapat tauliah daripada Jabatan Mufti Perlis beberapa hari lepas.

Namun, kekexohan di Perlis telah digelapkan media milik parti Pas gara-gara negeri tersebut kini ditadbir oleh parti tersebut, manakala EXCO Agama merupakan bekas pemimpin tertinggi Kompleks MATIN, tempat kejadian dilaporkan, berbeza dengan kejadian melibatkan Azhar Idrus di Selangor sebelum itu.

Mengulas kejadian enggan mendapatkan tauliah yang melibatkan sebilangan besar penceramah terkenal, seorang pemuda tampil memberikan jawapan.

Menurut pemuda tersebut yang berkongsikan tulisannya di laman FB miliknya menggunakan nama akaun Mohammad Hadi AH, dia memberikan 3 alasan kenapa penceramah tersebut enggan mendapatkan tauliah.

Kenapa enggan memohon tauliah?

Pada satu ketika kira-kira 6, 7 tahun lepas, aku ke Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk mengambil kad tauliah mengajar. Setibanya aku di lif JAIS, aku terserempak dengan Ustazah Zawiyah Hassan yang juga sedang menunggu lif. Siapa tak kenal Ustazah Zawiyah ni sila terjun gaunglah ya.

Aku pun menegur ustazah, “Ada mengajar kat sini ke hari ni ustazah?”

“Eh takdelah, saya datang nak ambik kad tauliah”, jawab ustazah yang sentiasa tersenyum manis.

Aku pun berseloroh dengannya, “Aik, otai macam ustazah pun kena ambik tauliah jugak ke?”

“Kita kenalah ikut peraturan ustaz. (Aku pulak dia panggil ustaz) Otai tak otai pun. Saya pun serabut juga setiap kali AJK masjid nak jemput, diorang tanya pasal tauliah. Saya takde tauliah, tapi masjid sungguh² menjemput. Ni bila dah ada tauliah, senanglah.. “

Aku juga memohon tauliah atas dasar yang sama. Bukannya nak menyampul, tapi AJK masjid sungguh² merayu.

Aku fikir, kalau nak buat degil atau nak buat bebal, boleh je aku cakap, “Saya takde tauliah tapi kalau masjid nak jemput, masjidlah apply tauliah”.

Tapi kita sebenarnya nak apa? Nak sebarkan ilmu kan? Dah kalau itu niatnya, apply sajalah tauliah. Kenapa ada yang mati² tak nak apply dan mati² nak suruh orang lain apply untuk kita tu?

Sebagai seorang pemegang tauliah mengajar di negeri Selangor yang diberikan oleh JAIS, aku memang hairan kenapa masih ada penceramah yang masih degil untuk memohon tauliah. Sebenarnya ada jawapannya. Mereka yang enggan memohon tauliah pun tahu sebabnya.

Secara umumnya, mereka yang enggan memohon tauliah ni terdiri daripada 3 golongan seperti berikut:

1. Mereka yang memang terlibat dengan politik kepartian. Jadi pergi temuduga tauliah ibarat serah tengkuk untuk disembelih. Mereka inilah yang biasanya berceramah “Ini bukan politik tuan², cuma nak peringat…”, maknanya memang nak berpolitiklah tu. Kerana tak dapat nak pisahkan keinginan untuk menyampul sambil berpolitik atau berpolitik sambil menyampul, maka dia memilih untuk ingkar dengan peraturan tauliah.

2. Mereka yang sebenarnya mempunyai latar belakang pengajian agama yang meragukan. Boleh jadi mengaji agama pun celup² juga ikut kaset (kalau zaman dulu) atau Youtube (zaman sekarang). Justeru kalau ditemuduga besar kemungkinan akan kantoi. Aku tahu ada penceramah ‘regular’ yang baca kitab (kononnya), tapi asas² Syariah pun tak tahu. Usul fiqh tak tahu, qiyas khafi tu apa, istishab tu apa. Ada yang berpuluh tahun baca kitab sirah sahaja, bukan ustaz pun. Bahasa Arab pun lintang-pukang. Ada pula jenis ustaz yang nak komen benda yang bukan bidang dia, nak ulas juga pasal kewangan Islam contohnya, walaupun dia bukan pakar. Mereka ini kalau ditemuduga, sahih kena sembelih juga.

3. Mereka yang berkelayakan tapi ada masalah sikap, contohnya suka terpekik terlolong dalam masjid, suka maki hamun, suka menyanyi, suka buat lawak badut dan macam² lagi sikap yang menyebabkan mereka tidak sesuai diberi tauliah. Ada yang jenis cepat melenting, dia saja yang betul dan tak boleh ditegur. Ini pun biasanya terjun gaung juga. Mereka yang sudah ada track record yang gelap sebegini, tak perlulah nak cuba mohon tauliah. Ada juga segelintir yang terlibat dengan kontroversi tertentu melibatkan masalah peribadi, namun biasanya namanya ‘digantung’ seketika.

Perlu dibezakan juga ada golongan yang telah cuba memohon tauliah namun tidak diluluskan atas pelbagai faktor. Faktor² itu biasanya kembali kepada faktor² atas, terlibat dalam berpolitik, ceramahnya mempertikaikan isu² furu’ dalam agama (atau sekurang-kurangnya dilabel sedemikian walaupun hakikatnya pemohon tidaklah begitu) atau membangkitkan keresahan kepada umat Islam. Panel penemuduga biasanya pandai mencuit, tahu nak petik suis kat mana. Bila picit ibu jari kaki, dia akan ‘melolong’. Sesetengah yang lantang menentang tauliah ni pun, kalau periksa, ada kes jugak. Jadi kalau tak lulus tauliah, move on sajalah. Pindah negeri lain ke. Bumi Allah SWT ni terlalu luas untuk berdakwah.

Kalau nak kata tak dapat tauliah kerana label wahabi atau kerana mengaji dari Arab Saudi pun, ada je lulusan Arab Saudi yang dapat tauliah mengajar di Selangor, jadi wahabi tak wahabi bukanlah isu juga.

Pada pengamatan peribadi aku, untuk mendapat tauliah, kita hanya perlu menjadi ‘normal’. Bukan jenis suka cari balah, kutuk sana, maki sini.

Di Selangor ni misalnya, ada lebih 5,000 pemegang tauliah. Kalaulah sampai 5,000 lebih orang ada tauliah, takkanlah peraturan tauliah itu zalim dan menindas? 5,000 orang yang ‘normal’ ni boleh je ikut?

Kita boleh berbeza pandangan, tapi bagi aku, peraturan tauliah ini satu keperluan juga, untuk rekod dan pemantauan. Dalam kewangan Islam pun ada ‘tauliah’ menurut SGPD, nak jadi peguam syarie pun kena ada ‘tauliah’. Jadi peraturan tauliah bukanlah sesuatu yang pelik.