Telur kena ‘serbu’ lepas kerajaan umum harga diturunkan 3 sen

Telur kena ‘serbu’ lepas kerajaan umum harga diturunkan 3 sen

 

Permintaan bagi telur ayam di Malaysia melonjak tinggi selepas kerajaan menurunkan harga runcit bagi telur gred A, B dan C sebanyak 3 sen sebiji mulai 17 Jun.

Di Terengganu, sebanyak 75,000 biji telur ayam gred A, B dan C di sebuah kedai borong di Chabang Tiga, Kuala Terengganu, habis terjual dalam masa tiga jam selepas kedai itu diserbu pelanggan.

Seorang pengurus kedai borong, Cik Nursyzanil Adha Ramli, berkata 2,700 papan telur pelbagai gred diterimanya pada 19 Jun dan 2,500 papan habis terjual dalam masa tiga jam selepas kedai itu dibuka pada 7 pagi.

Menurut Cik Nursyzanil, pihaknya tidak meletakkan had pembelian, menyebabkan telur gred A, B dan C terjual dengan cepat.

Yang tinggal hanya kira-kira 200 papan telur premium dan telur ayam kampung.

“Bekalan telur gred A, B dan C habis sebelum 11 pagi hingga ada pelanggan pulang dengan tangan kosong.

“Kita mengakui menerima bekalan agak kurang tetapi penghantaran bekalan masih stabil,” katanya, lapor Harian Metro.

Pada 17 Jun, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan kerajaan memutuskan harga runcit bagi telur gred A, B dan C di seluruh negara diturunkan 3 sen sebiji.

Langkah itu menyaksikan harga runcit telur ayam tiga gred berkenaan itu di pasaran menjadi masing-masing 42 sen (S$0.12 sen), 40 sen dan 38 sen sebiji.

“Penampungan subsidi keperluan makanan rakyat sebanyak 10 sen bagi sebiji telur ayam ini melibatkan perbelanjaan RM100 juta, manakala pada 2023 peruntukan subsidi telur ayam adalah sebanyak RM927 juta,” katanya.

Penurunan harga telur itu menyusul seminggu selepas kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel menerusi pengapungan harga bahan api itu mulai 10 Jun.

Seorang peniaga roti canai, Cik Siti Aisyah Yusof, 36 tahun, berkata penurunan yang diumumkan kerajaan itu sedikit sebanyak membantu beliau berjimat, selain mengurangkan kos perniagaan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Cik Fuziah Salleh, memberi jaminan bekalan telur di pasaran mencukupi menyusuli pengumuman penurunan harga telur, yang dibimbangi akan melonjakkan permintaan telur secara mendadak.

“Pengeluaran telur setakat ini seperti biasa. Sebelum pengumuman dibuat, kita telah lakukan libat urus dengan pemain industri dan menerima jaminan bahawa pengeluaran telur mencukupi di seluruh negara. Itu janji industri kepada kerajaan,” katanya.

Rata-rata peniaga makanan menyifatkan harga baru telur dapat membantu mengurangkan kos perniagaan mereka memandangkan telur banyak digunakan dalam pelbagai masakan selain menjadi bahan utama pembuatan kuih dan pastri.

Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Bumiputera Pasar Siti Khadijah di Kelantan, Encik Ahmad Nazri Che Omar, berkata inisiatif itu memberi peluang kepada peniaga, khususnya penjual makanan, meraih sedikit keuntungan, memandangkan masih ada yang menjual kuih pada harga lama, walaupun berlaku kenaikan harga telur sebelum ini.

“Penurunan harga bekalan ini memberi peniaga peluang mendapat keuntungan lebih dan dapat mengimbangi harga bahan mentah lain yang digunakan untuk berniaga,” katanya kepada Bernama.