Tempat kerja masih dominasi jangkitan kluster tertinggi Covid-19 – Noor Hisham

Tempat kerja masih dominasi jangkitan kluster tertinggi Covid-19 – Noor Hisham

Malaysia kekal mencatatkan kematian akibat Covid-19 melebihi 100 kes iaitu 118 orang termasuk 10 warga asing dengan Selangor menjadi penyumbang terbanyak iaitu 46 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, selain Selangor, Kuala Lumpur mencatatkan 18 kes diikuti 16 kes di Negeri Sembilan, 13 kes di Johor, lima kes di Kedah, masing-masing empat kes di Sabah dan Sarawak, masing-masing dua kes di Labuan, Kelantan, Perak, Pahang, dan Melaka serta masing-masing satu kes di Pulau Pinang dan Terengganu.

“Seramai 72 lelaki dan 46 wanita dengan 21 pesakit tiada latar belakang penyakit dan 13 kes meninggal dunia di rumah.

“Malaysia juga terus merekod peningkatan kes positif Covid-19 iaitu 11,618 kes sekali gus mengatasi kes sembuh iaitu 6,377 kes dengan 878 kes di unit rawatan rapi (ICU) selain 432 kes memerlukan bantuan pernafasan dan 101,359 kes aktif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, Selangor terus menjadi penyumbang terbesar apabila merekodkan sebanyak 5,051 kes diikuti Kuala Lumpur (1,749), Negeri Sembilan (1,537), Melaka (526), Kedah (504), Pahang (400), Johor (396), Sarawak (289), Sabah (286), Kelantan (236) dan Pulau Pinang (210).

“Hanya dua negeri merekodkan kes di bawah 200 iaitu Terengganu (189) dan Perak (164).

“Bakinya pula, Putrajaya (40) dan Labuan (38) manakala Perlis hanya tiga kes,” katanya.

Mengulas mengenai 26 kluster baharu, beliau berkata, tempat kerja mencatatkan 15 kluster, tujuh kluster komuniti dan empat kluster kumpulan berisiko tinggi.

Kluster tempat kerja katanya, empat di Kuala Lumpur, Tapak Bina Metropolis 2 di Kepong (69), Jalan Sinar Sentul di Kepong (9), Jalan Ampang Sejahtera di Titiwangsa (7), Lorong Ara di Lembah Pantai (12) dan tiga di Selangor, Industri Alam Jaya 2/3 di Kuala Selangor dan Gombak (33), Jalan Medan Seksyen Sembilan di Hulu Selangor (15), Industri Jalan Mas Tujuh di Sepang (5).

“Johor juga tiga kluster tempat kerja, Persiaran Teknologi 11 di Kulai dan Johor Bahru (15), Jalan Dian 19 di Johor Bahru (11), Lorong Aik Hwa di Muar (15) manakala dua di Kedah, Dah Ketil Industri Baling di Baling, Kuala Muda, Kulim, dan Sik (31), Dah Saga Industri Sungai Petani di Kuala Muda dan Kulim (75).

“Melaka juga dua kluster iaitu Jalan Lebuh Ayer Keroh di Melaka Tengah, Jasin, dan Alor Gajah (33), Jalan Jasin Bestari di Jasin (47) manakala satu di Sarawak, Jalan Teo Kui Ngo di Meradong (13),” katanya.

Tambahnya, kluster komuniti, Jalan 11 Medan di Sepang, Selangor (8), Desa Kemandol di Kuala Langat (19); Murni Perdana di Marang dan Dungun, Terengganu (43), Bukit Tok Bat di Hulu Terengganu, Setiu, Besut, Terengganu dan Bentong, Pahang (30); Jalan D’Aranjo di Melaka Tengah, Melaka (26); Kampung Melamam di Sipitang, Sabah (37) dan Duyoh di Bau, Sarawak (22).

“Empat kluster kumpulan berisiko tinggi iaitu Sentosa 2 di Kuching, Samarahan, dan Asajaya, Sarawak (52); Jalan Pahat 15 di Petaling dan Sepang, Selangor (104); Jalan Kelaboran di Tumpat, Kelantan (11) dan Dah Melor di Sik, Baling, Pendang, dan Kuala Muda, Kedah (49),” katanya. -UTUSAN ONLINE