Tenat!!! Kerugian terkumpul cecah RM100 juta, restoran Kelantan angkat ‘bendera putih’

Tenat!!! Kerugian terkumpul cecah RM100 juta, restoran Kelantan angkat ‘bendera putih’

KERUGIAN terkumpul yang terpaksa ditanggung kira-kira 3,000 pengusaha restoran dan kedai makan di Kelantan dalam tempoh hampir empat bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dikuatkuasakan, dianggarkan sudah mencecah RM100 juta.

Difahamkan, pendapatan mereka merosot teruk sehingga lebih 90 peratus setiap hari, ekoran peraturan larangan makan di premis atau dine in serta tempoh perniagaan yang terhad hingga pukul 10 malam dalam tempoh PKP.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi

Gabungan Pengusaha-Pengusaha Restoran Kelantan, Nik Hassan Mohd. Zain berkata, ketika segelintir pengusaha ‘tewas’ dan mula gulung tikar, mereka yang masih bertahan bergelut mencari jalan meminimumkan kos operasi.

Katanya, ini termasuk mengurangkan tenaga kerja sehingga 80 peratus, menyaksikan ribuan belia yang bekerja sebagai pelayan, tukang masak dan tukang bancuh air hilang punca pendapatan selepas ‘direhatkan’ majikan masing-masing.

“Secara puratanya, kos operasi sebuah restoran yang ada dua syif di Kelantan antara RM20,000 hingga RM30,000 sebulan, merangkumi sewa premis, gaji pekerja, bil utiliti dan lain-lain, tidak termasuk bahan mentah.

“Apabila jualan jatuh sehingga 90 peratus, kebanyakan pengusaha terpaksa menyerap kos operasi. Saya sendiri terpaksa menanggung rugi hingga RM72,000 dalam tempoh empat bulan. Daripada 20 pekerja, sekarang tinggal lima orang,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Nik Hassan, memorandum merayu kelonggaran membenarkan pelanggan makan di premis dan waktu operasi dilanjutkan kepada pukul 12 tengah malam sudah dihantar, namun tiada jawapan.

“Berbanding negeri lain, Kelantan paling lama dikenakan PKP 3.0 iaitu sejak awal Ramadan sehingga kini.

“Kami bersedia mematuhi apa sahaja SOP ketat, asalkan kerajaan menarik balik larangan makan di premis serta melanjutkan waktu operasi sehingga pukul 12 tengah malam. Jika tidak, industri restoran Kelantan bakal terkubur semuanya,” katanya.

Sementara itu, pemilik restoran Siam Thai Street, Farhan Yaacob berkata, demi kelangsungan perniagaan, dia terpaksa mengurangkan bilangan pekerja daripada 100 orang kepada lima orang.

“Selepas berbincang dengan pekerja yang masih tinggal, mereka setuju menerima upah lebih rendah yang mampu saya tawarkan. Gaji tukang masak dulu RM80 sehari, kini RM20 sehari. Upah tukang bancuh air pula RM5 sehari, berbanding dulu RM45 sehari,” katanya.

Pemilik restoran Bro Din Station, Ruslan Muhd. Yaman pula memberitahu, dia cuba menyerap kos sehingga RM500 sehari kerana tidak sanggup merehatkan kesemua 35 pekerjanya.

“Ketika PKP 2.0 dulu restoran saya rugi teruk walaupun tawarkan perkhidmatan penghantaran tunai (COD). Ketika PKP 3.0, pekerja saya merayu mahu terus bekerja. Sekarang kesemua 35 mereka bergilir-gilir kerja mengikut syif dengan gaji jauh lebih rendah,” katanya.

Sumber – Utusan Malaysia