Tengah tidur bawah pokok, lelaki cemas ular tedung masuk dalam baju

Ular merupakan sejenis reptilia yang boleh dijumpai di mana-mana di seluruh lokasi di dunia. Rata-rata reptilia jenis spesies berbisa ini sering ditemukan di kawasan yang teduh seperti kawasan semak-samun, lubang tanah, dan kadangkala menyelinap masuk ke habitat manusia.
Baru-baru ini tular satu video yang memperlihatkan seorang lelaki berdepan detik cemas apabila seekor ular dipercayai ular tedung memasuki bajunya, lapor DNA India.
Dalam rakaman tersebut, seorang lelaki disyaki tidak menyedari bahaya yang datang sewaktu sedang tidur sambil bersandar di sebuah pokok.
Difahamkan, kejadian berlaku di negara India namun lokasinya tidak diberitahu secara terperinci.
Walau bagaimanapun, momen ngeri itu disedari oleh beberapa individu lain yang turut berada di lokasi kejadian.
Antara Hidup Dan Mati
Keresahan jelas terukir di raut wajah lelaki itu apabila mengetahui ular yang menyelinap masuk ke dalam bajunya adalah salah satu spesies ular paling berbisa.
Video berkenaan yang dikongsikan oleh seorang wartawan tempatan, @gopi.maniar di Instagram menunjukkan seorang individu cuba menyelamatkannya daripada maut.
Mangsa kelihatan tenang dan tidak banyak bergerak sewaktu individu lain cuba membuka butang baju kemejanya satu per satu.
Ia bagi memastikan ular tedung berkenaan tidak menyerang atau mematuk mangsa.
Sewaktu butang baju dilepaskan satu demi satu, barulah mereka dapat melihat badan reptilia tersebut. Ia terjuntai keluar daripada pakaian lelaki itu sebelum keluar sepenuhnya pada belakang badannya.
Selepas ular tedung berwarna seakan coklat hitam itu keluar daripada pakaiannya, lelaki itu bergegas bangun dari pokok berkenaan sambil memakai semula pakaiannya.
Sementara itu, salah sebuah portal berita tempatan, MUMBAI NEWS turut memuat naik video berkenaan di laman Twitter.
Video | Large Cobra snake inside Man's shirt. Always Be careful while sleeping or sitting under trees. pic.twitter.com/ph5r7gwvyM
— MUMBAI NEWS (@Mumbaikhabar9) July 26, 2023
Video berkenaan telah mendapat perhatian ramai dan tular di media sosial dengan lebih 400,000 tontonan.
Rata-rata warganet membanjiri ruangan komen dan menyifatkan lelaki itu sangat bertuah terlepas daripada ular yang mampu membawa maut.