Tentera dikerah jadi petani ketika menteri terpalit rasuah???

Tentera dikerah jadi petani ketika menteri terpalit rasuah???

Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak membantah cadangan Kementerian Pertahanan mewujudkan kawasan tanaman di setiap kem tentera di seluruh negara bagi menjamin sekuriti makanan, terutama bagi keperluan anggota.

Presiden Persatuan Veteran ATM (PVATM), Shaharudin Omar berkata, pihaknya menyokong usaha itu, asalkan ia tidak menjejaskan fungsi kem tentera sebagai pangkalan keselamatan.

“Bagaimanapun ia mestilah membabitkan kawasan yang betul-betul dikenal pasti sesuai untuk dijadikan kawasan pertanian,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, kem tentera yang mahu dijadikan kawasan pertanian juga perlu khusus untuk tanaman sahaja, bukannya ternakan.

Shaharudin Omar.
Katanya, jika usaha itu ingin dilaksanakan di kem tentera, veteran yang berminat mengusahakan ladang perlu dilibatkan bagi membolehkan golongan itu memperoleh pendapatan tambahan selepas bersara.

“Pendekatan ini sesuai kerana kita dapati sekarang ini sekuriti makanan negara dalam keadaan cukup membimbangkan.

“Pendekatan ini dapat membantu veteran ATM yang berminat untuk mengubah kehidupan mereka kepada perusahaan pertanian bagi mempertingkatkan pendapatan mereka,” katanya, namun menambah bahawa perkara itu tidak sesuai jika melibatkan anggota yang masih bertugas kerana dibimbangi mengganggu tugas utama.

Katanya, veteran yang berminat menyertai aktiviti pertanian itu juga perlu disediakan penyelesaian holistik dan menyeluruh, dari peringkat sebelum memulakan proses tanaman sehingga hasilnya selamat dipasarkan.

“Pendekatan ini perlu dimulakan dengan kempen kesedaran bagi membuka pintu hati atau minat mereka yang masih mempunyai keupayaan untuk mengambil peluang tersebut bagi menambah pendapatan, termasuk memberi bimbingan serta kursus.

“Mereka juga perlu dibekalkan dengan keperluan asas yang lengkap untuk memulakan pertanian, selain diajar cara memasarkan hasil tanaman supaya ada jaminan mendapat pembeli.”

Katanya, Perbadanan Hal Ehwal Bekas Tentera (Perhebat) perlu menjadi penggerak bekas anggotanya untuk mengikuti kursus kemahiran serta latihan pertanian.

Kelmarin, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein dilaporkan berkata, Kementerian Pertahanan menyasarkan untuk mewujudkan kebun sayur di setiap kem tentera di seluruh negara bagi memastikan sekuriti makanan, terutama bagi keperluan anggota tentera.

Katanya, Kem Syed Sirajuddin di Gemas, Negeri Sembilan dipilih sebagai projek perintis.