“Terang-terang nak sentuh..” – Lelaki warga asing ditahan cabul pelajar perempuan di pasar raya

“Terang-terang nak sentuh..” – Lelaki warga asing ditahan cabul pelajar perempuan di pasar raya

Seorang lelaki warga asing ditahan pengawal keselamatan kerana mencabul pelajar perempuan di sebuah pasar raya.

Tidak diketahui tarikh dan lokasi kejadian, namun video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian itu tular di media sosial hari ini.

Berdasarkan video, mangsa dipercayai datang ke premis itu bersama dengan ibunya untuk membeli barang keperluan. Dua beranak itu tidak menyedari mereka diekori oleh saspek dari belakang.

Sebaik saja melihat mangsa bersendirian di lorong berkenaan, saspek segera datang dan menggenggam dada mangsa.

Terkejut dengan tindakan saspek, mangsa terus berundur ke belakang. Saspek pula berpura-pura kononnya dia tersalah pegang ketika mahu mengambil barang di rak berdekatan.

Mangsa segera berlari dan memaklumkan kejadian itu kepada ibunya yang kemudian datang berdepan dengan saspek. Bagaimanapun, saspek tidak mengaku sebelum kakitangan premis tersebut menariknya untuk disoal siasat.

Dalam video kedua, ibu mangsa menegaskan bahawa dia akan menarik balik laporan polis sekiranya saspek tidak melakukan perbuatan itu. Jika sebaliknya, tindakan undang-undang akan diambil terhadapnya.

“Kalau awak bercakap benar, tak apa. Saya akan tarik balik laporan polis. Tetapi jika betul awak melakukan perbuatan itu, saya akan buat laporan polis dan pastikan awak masuk ke dalam (penjara),” tegasnya.

Dalam satu lagi video berasingan, memaparkan pendatang asing itu telah pun ditahan polis dengan beberapa lagi anggota turut berada di lokasi kejadian.

Cuba untuk menafikan perbuatannya, namun bukti rakaman kamera serta saksi di premis tersebut jelas membongkarkan kelakuan tidak bermoral lelaki berkenaan.

Belum ada sebarang kenyataan polis berkaitan isu tersebut dan lokasi kejadian juga belum dapat dipastikan.