Terbaik!!! [Video] Mengimbau kenangan masa kecil, Datuk Ayob Khan pamer ‘skill’ tebar roti canai

Terbaik!!! [Video] Mengimbau kenangan masa kecil, Datuk Ayob Khan pamer ‘skill’ tebar roti canai

 

 

Gelagat Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, menebar roti canai ibarat pakar mencuit hati pengamal media pada program Singgah Sahur Kelab Media Johor (KMJ), awal pagi tadi.

Gelagat Ayob Khan itu yang turut bergurau mesra dengan pengamal media dirakam dalam video berdurasi 64 saat.

Siapa sangka, Ayob Khan memiliki kemahiran berkenaan di sebalik sikapnya yang tegas membanteras jenayah.

Terdahulu, Ayob Khan menyambut kehadiran rombongan KMJ yang diketuai Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad serta diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang.

Menurut Ayob Khan, program Singgah Sahur KMJ itu secara tidak langsung mengeratkan silaturahim antara kerajaan negeri, agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan media.

“Dengan adanya program seumpama ini, ia dapat memantapkan lagi sebarang penyaluran maklumat termasuk aktiviti yang berkaitan.

“Sumbangan media daripada segi laporan berita yang dikongsikan berhubung kejayaan polis Johor amat besar ertinya.

“Antara kontinjen-kontinjen, selain daripada Bukit Aman, Johor paling tinggi daripada segi perkongsian media. Laporan termasuk kejayaan besar polis Johor adalah sumbangan besar media dalam membantu meningkatkan imej PDRM, khasnya di Johor,” katanya selepas program.

Program Singgah Sahur KMJ yang memasuki tahun keenam itu membabitkan empat lokasi iaitu Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Stadium Tertutup Pasir Gudang, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Dalam pada itu, Presiden KMJ Mohamad Fauzi Ishak berkata, Program Singgah Sahur KMJ bertujuan memberi penghargaan kepada pasukan keselamatan dan perubatan yang bertugas.

“Selain menghargai jasa petugas barisan hadapan yang sentiasa menjalankan tugasan tanpa mengira masa dan lokasi ketika pandemik Covid-19, ia antara lain sebagai tanda sokongan kami terhadap mereka,” katanya.

Tahun ini, KMJ mendapat kerjasama Yayasan Johor Corporation (JCorp) bagi pengagihan makanan, selain kerjasama PDRM yang bersama-sama mengiringi rombongan program ini. – HM