Tergamak Nik Abduh jual nama almarhum Nik Aziz bg dapatkan kelulusan pinjaman barangan MPKB?

Tergamak Nik Abduh jual nama almarhum Nik Aziz bg dapatkan kelulusan pinjaman barangan MPKB?

Di sebalik dakwaan salah guna kuasa, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata majlis perkahwinan dua anaknya yang diadakan pada 24 Sept lalu turut melibatkan jamuan rakyat di Masjid Tok Guru, Pulau Melaka, Kelantan.

Memetik FMT, Ahli Parlimen Bachok itu berkata, ia juga menjadi majlis kesyukuran keluarga besarnya, diketuai bapa saudara, Nik Razi Nik Mat yang bersepakat untuk menganjurkannya bersama sejak pemergian bapanya, bekas menteri besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat, tujuh tahun lalu.

“Selepas kematian ayahanda saya tujuh tahun lepas, inilah julung kalinya keluarga besar kami menganjurkan jamuan rakyat dengan jemputan kepada seluruh masyarakat setempat, terutama rakan taulan dan anak murid kepada ayahanda yang sememangnya dibayangi dengan memori kerinduan kepadanya.

“Saya anggarkan sekitar 8,000 hingga 10,000 orang tetamu telah hadir dan lebih 30 kawah gulai telah dinikmati bersama selain juadah yang lain. Alhamdulillah..,” katanya di Facebook.

Menurutnya, majlis itu turut dihadiri beberapa pemimpin PAS termasuk Mursyidul Am, Hashim Jasin, timbalannya yang merangkap Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob, Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah dan beberapa pimpinan utama parti terdiri daripada ahli Majlis Syura Ulamak PAS dan ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Beliau turut berterima kasih bukan saja kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB), malah Jabatan Kerja Raya (JKR) serta polis yang menerima permohonan untuk turut sama membantu melancarkan majlis keraian dan jamuan rakyat dalam memastikan keselesaan pergerakan dan kelancaran lalu lintas yang agak sesak pada waktu puncak.

“Pihak MPKB sebagaimana biasa turut menyediakan tambahan tong-tong sampah bagi memudahkan urusan pungutan dan pemindahan sisa pepejal bagi menjamin kebersihan (kesihatan) dan keceriaan kawasan sekolah dan masjid Tok Guru yang perlu dipulihkan dengan cepat,” katanya.

Terdahulu, tular surat permohonan bertarikh 20 Sept daripada Nik Abduh kepada MPKB untuk memohon kemudahan majlis anaknya termasuk perkhidmatan pengurusan sisa pepejal, kerusi meja, hiasan bunga dan bantuan penguat kuasa bagi kawalan lalu lintas.

Yang Dipertua MPKB, Rosnazli Amin kemudian mengesahkan menerima surat permohonan itu namun tidak membuat sebarang keputusan.

Tindakan pemimpin PAS itu turut dipersoalkan Pengerusi DAP Lim Guan Eng yang menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Nik Abduh atas salah guna kuasa kerana meminta “kerjasama” daripada pihak berkuasa tempatan berkenaan untuk menyediakan kemudahan majlis perkahwinan anaknya.