Terima ADUN PN sertai kerajaan, Rauf dan Sulaiman gagal capai kata sepakat

Terima ADUN PN sertai kerajaan, Rauf dan Sulaiman gagal capai kata sepakat

Bibit keretakan hubungan antara Pengerusi UMNO Negeri yang juga merupakan ADUN Tanjung Bidara yang baru dengan Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Ali terus jadi perhatian umum.

Punca keretakan mula dihidu ramai selepas Rauf didakwa enggan hadir ke majlis upacara angkat sumpah melibatkan Sulaiman sebagai Ketua Menteri Melaka sejurus BN mengesahkan kemenangan mutlaknya dalam PRN Melaka.

Malah tindakan Sulaiman yang mengadakan upacara angkat sumpah secara tergesa-gesa juga seolah memberi petanda berlaku krisis dalaman yang semakin membesar kem BN ketika itu.

Terkini, Rauf sekali lagi dilihat mendahului bosnya, Sulaiman dalam kenyataannya mengenai cadangan menyertai kerajaan negeri oleh 2 calon PN yang memenangi PRN Melaka baru-baru ini.

Menurut laporan Harian Metro, UMNO negeri tidak akan berkompromi dengan cadangan pihak tertentu yang mahu menggabungkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) dalam pembentukan kerajaan negeri.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata, pihaknya sama sekali tidak akan membabitkan ADUN Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub dan ADUN Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof dalam membentuk kerajaan negeri diterajui Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, langkah itu sejajar dengan pendirian UMNO untuk tidak akan menjalinkan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang diputuskan menerusi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tahun lalu.

“Kita tidak akan bekerjasama dengan mana-mana wakil BERSATU dalam membentuk kerajaan negeri seperti yang diputuskan pada PAU tahun lalu.

“Mana-mana cadangan untuk menggabungkan mereka (dua ADUN berkenaan) tidak akan diterima dan kita tetap dengan pendirian tidak bekerjasama dengan BERSATU,” katanya ketika dihubungi tadi.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu lalu, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan dengan dua dimenangi PN manakala selebihnya Pakatan Harapan (PH).

Sehubungan itu, terdapat cadangan pihak tertentu supaya dua ADUN PN terbabit bersama BN membentuk kerajaan negeri seperti dilakukan di peringkat Pusat.

Bagaimanapun Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali akan membincangkan perkara itu di peringkat pucuk kepemimpinan BN sebelum diputuskan dengan mengambil kira senario parti itu yang bertanding secara solo dalam PRN lalu.

Kelmarin, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, dilaporkan berkata, tiada keperluan untuk dua ADUN baharu daripada PN itu dilantik sebagai Ahli EXCO Melaka kerana BN mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi iaitu melebihi dua pertiga