Terima dua laporan, SPRM nafi lakukan intimidasi terhadap calon MB Johor PKR

Terima dua laporan, SPRM nafi lakukan intimidasi terhadap calon MB Johor PKR

.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan siasatan terhadap Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik dan beberapa pegawainya sebagai satu bentuk intimidasi.

Suruhanjaya itu dalam kenyataannya pada Ahad, seperti dilaporkan Astro Awani menegaskan, proses siasatan dijalankan setelah terdapat aduan rasmi berhubung sesuatu kesalahan rasuah dan penyelewengan sebagaimana peruntukan undang-undang.

“SPRM telah menerima dua aduan terhadap Ahli Parlimen berkenaan dan sedang menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut.

“Setiap siasatan yang dijalankan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan menemu bual beberapa saksi yang terlibat.

“SPRM tidak akan tunduk kepada tekanan dari mana-mana pihak untuk mengalihkan isu rasuah dan penyelewengan dengan pelbagai tekanan yang sengaja dibuat,” katanya.

Media pada Sabtu melaporkan, Maszlee hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk memberi keterangan berhubung kehadirannya menyaksikan penyerahan memorandum oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di bangunan Parlimen, 20 Januari lalu.

Maszlee berkata beliau tidak menyangka tindakannya yang hadir semasa penyerahan memorandum tersebut mengakibatkan dirinya dipanggil polis untuk disoal siasat.

Dalam pada itu SPRM turut menegaskan, siasatan yang dijalankan akan berteraskan prinsip ketelusan, keadilan dan profesionalisme serta berlandaskan undang-undang yang diperuntukkan.

“Justeru itu, SPRM berharap agar pihak yang terlibat memberikan kerjasama penuh dan berhenti mensensasikan proses siasatan ini,” katanya.