Terima kasih Pas! Jualan tiket konsert Coldplay ‘sold out’

Terima kasih Pas! Jualan tiket konsert Coldplay ‘sold out’

Tiket konsert Coldplay: Music of the Spheres World Tour yang menjadi rebutan ribuan rakyat Malaysia habis dijual pada Rabu, sehari selepas jualan dibuka khusus untuk pengguna kad CIMB.

Memetik Sinar Harian, salah satu penganjur konsert, Live Nation mengumumkan penjualan tiket ditutup kira-kira 1 tengah hari Rabu, iaitu kurang empat jam selepas jualan umum dibuka pada jam 10 pagi.

“Kami ingin berterima kasih atas sokongan luar biasa terhadap Coldplay live di Kuala Lumpur dan menanti-nantikan kehadiran anda pada 22 November di Stadium Nasional Bukit Jalil!” menurut hantaran Live Nation di media sosial.

Pada Selasa, prajualan tiket konsert Coldplay menyaksikan 400,000 peminat yang menunggu untuk membeli tiket secara maya, sekali gus mencipta rekod baharu buat penganjur GoLive Asia.

Syarikat tersebut juga menjelaskan aliran trafik di laman sesawang dan aplikasi pembelian tiket menjadi perlahan akibat jumlah trafik yang tinggi.

Mengambil kira permintaan yang tinggi, ia juga menjurus kepada masalah ‘scalper’ atau pihak yang tidak bertanggungjawab membeli tiket hanya untuk menjual pada harga yang lebih tinggi bagi mendapat keuntungan.

Di beberapa platform media sosial, beberapa pengguna dilihat sudah mula menjual semula tiket Coldplay pada harga tinggi.

Sehubungan itu, Live Nation memberi amaran kepada umum supaya tidak membeli tiket daripada pihak atau syarikat yang tidak sah.

“Dengan membeli tiket melalui cara-cara jualan yang tidak sah, pembeli mengambil risiko memandangkan kesahihan tiket tidak dapat disahkan dengan bayaran balik tidak dibenarkan.

“Kami tidak akan dipertanggungjawabkan atas sebarang pembelian melalui saluran yang tidak sah,” menurut Live Nation.