Terjawab!!! Bagai dijangka, tuduhan bekas ADUN rogol isteri hanya helah mengelak bayar hutang

Terjawab!!! Bagai dijangka, tuduhan bekas ADUN rogol isteri hanya helah mengelak bayar hutang

Seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu menafikan dia terlibat dalam kes cabul isteri rakan yang tular baru-baru ini.

Bekas ADUN Air Putih, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, 51, tampil menafikan dakwaan tersebut susulan laporan polis yang dibuat rakannya itu pada 16 Mac lalu.

Sebaliknya, dakwa Wan Ahmad Nizam, laporan dibuat pasangan suami isteri yang tinggal di Taman Melawati, Ampang itu hanya rekaan semata-mata dan bertujuan menjatuhkan reputasi serta mengaibkan dirinya.

Tegas Wan Ahmad Nizam yang juga bekas Naib Ketua UMNO Kemaman itu kepada laporan akhbar Utusan Malaysia, beliau dan isteri tidak pernah bermalam di rumah pasangan terbabit kerana mempunyai kediaman di Kuala Lumpur.

Pada masa sama, tambahnya, beliau sudah menjangkakan perkara itu akan berlaku susulan ugutan awal yang diterimanya daripada rakan baiknya itu pada Ahad lalu.

Mendedahkan kepada media, Wan Ahmad Nizam mendakwa rakannya itu mempunyai hutang berjumlah RM200,000 dengannya, namun akibat gagal melunaskannya, persahabatan mereka menjadi renggang sejak September tahun lalu.

“Ahad lalu kira-kira 4 petang, dia bersama isteri datang ke rumah saya di Geliga, dan katanya untuk berbincang tentang hutang.

“Tetapi tiba-tiba saya ditumbuk sebanyak dua kali di samping kepala serta badan dibaling dengan pasu bunga secara bertubi-tubi hingga saya tidak boleh bangun, sebelum dia berlalu pergi.

“Saya maklumkan padanya akan melaporkan kejadian itu kepada polis dan dia mengugut saya agar tidak berbuat demikian atau dia akan membuat sesuatu yang boleh memalukan saya.

“Tiba-tiba keluar cerita saya mencabul isterinya,” jelasnya.

Beliau membuat laporan di Balai Polis Chukai sebelum rakannya itu berjaya ditahan polis di Ampang, Selangor pada Jumaat.
Rakannya itu bagaimanapun dibenar diikat jamin.

Ketua Polis Terengganu, Roslee Chik, mengesahkan laporan kejadian itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Wan Ahmad Nizam menjelaskan bahawa beliau menyerahkan kepada peguam untuk mengambil tindakan selanjutnya berhubung dakwaan cabul itu. – AA