Terkini!!! Agong berhak panggil sidang parlimen tanpa nasihat Mahiaddin dalam tempoh darurat

Terkini!!! Agong berhak panggil sidang parlimen tanpa nasihat Mahiaddin dalam tempoh darurat

Akhirnya semalam 16 Jun 2021 tamatlah segala teka-teki ekoran panggilan mengadap semua ketua parti politik dan perjumpaan khas Raja-Raja Melayu. Tiada apa yang “significant” melainkan sama seperti perutusan demi perutusan dari Perdana Menteri. Masih berkisar situasi pandemik, memahami keadaan rakyat, program vaksin, kesan ekonomi yang boleh dikatakan semua rakyat tahu dan faham.

Ramai teruja dengan kenyataan rasmi Istana Negara dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Antara faktor keterujaan ialah penzahiran bahawa Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri-negeri perlu dipanggil bersidang segera atau secepat mungkin. Status tamat darurat samada kekal 1 Ogos 2021 atau lebih awal, tiada berita.

Perenggan ke-2 kenyataan Istana Negara menyatakan bahawa Parlimen perlu bersidang secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan.

Perenggan ke-6 pula menyatakan bahawa wakil-wakil rakyat boleh berbincang pelbagai isu khususnya penularan covid-19 dan peruntukkan perbelanjaan kerajaan bagi membantu rakyat.

Kenyataan Istana Negara ini amat khusus iaitu Dewan Rakyat perlu bersidang segera untuk :

  1. membahaskan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara; dan
  2. Membincangkan pelbagai isu khususnya penularan wabak covid-19 dan peruntukkan perbelanjaan Kerajaan.

Bagi yang mendesak supaya Parlimen dibuka untuk bersidang, pasti teruja membaca titah Istana Negara. Ke bawah Duli menitahkan Parlimen bersidang secepat mungkin.

Bila? Tidak tahu kerana tiada titah berkaitan tarikh persidangan tetapi dititahkan secepat mungkin malah Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pula menyatakan bahawa Parlimen perlu segera bersidang. Secepat mungkin dan segera sahaja.

Ini sebenarnya kali kedua Istana Negara mengeluarkan titah berkaitan persidangan Parlimen. Kali pertama ialah pada 24 Februari 2021 apabila Tuanku menitahkan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Perlu diambil perhatian bahawa sekarang kita masih di dalam tempoh darurat sehingga 1 Ogos 2021, justeru segala peruntukkan di dalam Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 adalah terpakai.

Ordinan Darurat memperuntukkan di Seksyen 14 bahawa :

(1) bagi tempoh darurat berkuat kuasa ;

(a) peruntukkan berhubungan dengan memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah tidak mempunyai kesan; dan

(b) Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong.

Peruntukkan Seksyen 14 ini jelas. Kuasa penuh untuk memanggil persidangan Parlimen sekarang di dalam tempoh darurat berkuat kuasa adalah di tangan Yang di-Pertuan Agong. Tuanku tidak perlu lagi menunggu nasihat daripada Perdana Menteri. Tuanku berkuasa penuh.

Jika Tuanku menzahirkan Parlimen perlu bersidang segera atau secepat mungkin, ini bermaksud Tuanku fikir Parlimen telah sesuai untuk bersidang, justeru Tuanku hendaklah menitahkan Perdana Menteri untuk meminta Yang di-Pertua Dewan Rakyat mengeluarkan notis panggilan persidangan Dewan segera pada tarikh yang Tuanku fikir sesuai.

Perdana Menteri perlu patuh dan taat titah Tuanku kerana itu peruntukkan di dalam Seksyen 14(1)(b) Ordinan iaitu Parlimen HENDAKLAH dipanggil pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong. Kata kuncinya ialah “yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong”.

Jika tarikh persidangan dipilih atas nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri, itu bukan tarikh yang sesuai pada fikiran Agong sebaliknya itu tarikh yang sesuai pada fikiran Perdana Menteri.

Kita boleh lihat apa yang berlaku di Pahang. Notis panggilan sidang DUN Pahang telah dikeluarkan pada 25 Mei 2021 di mana Mesyuarat DUN akan dilangsungkan pada 16 sehingga 20 Ogos 2021 tertakluk kepada tarikh tamat darurat pada 1 Ogos 2021.

Di peringkat Parlimen, dengan keputusan Istana Negara semalam yang menzahirkan Parlimen perlu bersidang segera, maka Parlimen khususnya Dewan Rakyat boleh ditetapkan tarikh persidangan seawal Julai 2021 dan notis panggilan mesyuarat boleh dikeluarkan oleh Yang di-Pertua Dewan seawal minggu depan.

Peraturan Mesyuarat 11 (3) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat memperuntukkan bahawa dalam keadaan Majlis Mesyuarat dalam tangguhan jika Perdana Menteri memaklumkan kepada Tuan Yang di-Pertua adalah perlu Majlis mengadakan mesyuarat, Tuan Yang di- Pertua hendaklah dengan serta-merta mengeluarkan pemberitahu menyatakan tarikh mesyuarat hendak diadakan.

Apabila Yang di-Pertuan Agong menitahkan Dewan Rakyat dipanggil bersidang segera pada suatu tarikh yang Tuanku fikirkan sesuai (perlu ada tarikh), Tuanku panggil Perdana Menteri, maklumkan tarikh yang Tuanku fikirkan sesuai kepada Perdana Menteri, Perdana Menteri maklumkan kepada Speaker Dewan, Speaker Dewan hendaklah segera keluarkan notis kepada semua Ahli Dewan maklumkan tarikh persidangan yang dititahkan.

Itu peruntukkan sedia ada sekarang. Istana tidak perlu tunggu Perdana Menteri. Istana tidak perlu sekadar zahirkan pandangan Parlimen perlu bersidang segera tetapi tiada penetapan tarikh. Tiada tindakan.

Apabila tiada penetapan tarikh dari Istana, maka Kerajaan akan berdolak dalih seperti yang berlaku sekarang.

Perdana Menteri maklumkan Parlimen mungkin boleh bersidang seawal September apabila fasa ke-3 Pelan Pemulihan Negara mengikut perancangan. Adakah boleh dipercayai?

Kerajaan akan gunakan apa saja helah dan alasan bagi mengelakkan persidangan berlaku. Jika Kerajaan mahu Parlimen berfungsi, tidak perlu tunggu September, seawal Mac atau April apabila Tuanku zahirkan kali pertama sudah berlaku. Tetapi tidak berlaku. Semua Ahli Dewan sudah divaksin tetapi data sains Kerajaan masih menolak pembukaan Parlimen.

Ke Bawah Duli Tuanku wajar menitahkan sendiri tarikh persidangan. Itu kuasa Tuanku sekarang. Jika darurat tamat, kuasa kembali kepada Perdana Menteri untuk menasihati Tuanku di bawah Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan.

Walau pun begitu, persidangan Parlimen bukan wadah untuk menyelesaikan masalah yang sedang melanda sekarang. Penyelesaiannya juga ada pada Tuanku dan Raja-Raja Melayu untuk mewujudkan sebuah Kerajaan yang kukuh dan stabil tanpa kepentingan parti politik untuk suatu tempoh sehingga tamat tempoh Parlimen pada Mei 2023.

Peluang itu terhidang di depan mata tetapi dilihat sebelah mata. Risikonya amat tinggi kepada rakyat terbanyak dan negara.

Selama waktu dilengahkan selama itu kerosakan demi kerosakan, bebanan demi bebanan akan menimpa. Masa tidak menunggu kita. Semakin lama dibiar atau dilengahkan semakin berat dan kusut untuk diselesaikan.

Sumber: https://malaysiadateline.com/semasa-darurat-agong-ada-kuasa-panggil-sidang-parlimen-tanpa-nasihat-pm/