Terkini!! Agong perkenan isytihar darurat bagi PRK Bugaya dan Gerik

Terkini!! Agong perkenan isytihar darurat bagi PRK Bugaya dan Gerik

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan untuk mengisytiharkan darurat bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen (P.054) Gerik, Perak dan Bahagian Pilihan Raya Negeri (N.66) Bugaya, Sabah.

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Sultan Abdullah memperkenankan perkara itu selepas berpuas hati dengan adanya keperluan berbuat demikian.

“Seri Paduka Baginda berpuas hati bahawa adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi memasyhurkan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(No. 2) 2020 Sn Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.3) 2020 di bawah Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi (P.054) Gerik dan (N.66) Bugaya telah dijadualkan pada 16 Januari 2021 dibatalkan dan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Dalam menyembah nasihat kepada baginda juga, Muhyiddin berkiata, Jemaah Menteri pada 4 Disember lalu telah membincangkan secara terperinci kesan PRK Gerik, Perak dan Bugaya, Sabah jika diadakan pada masa pandemik COVID-19 masih menular di Malaysia.

Perdana Menteri berkata, dengan mengambil iktibar penularan COVID-19 susulan Pilihan Raya Negeri Sabah sebelum ini, Jemaah Menteri berpandangan kedua-dua PRK ini perlu dielakkan atas faktor ancaman kesihatan awam, ancaman ke atas kehidupan ekonomi dan ancaman ketenteraman awam.

“Saya bagi pihak Jemaah Menteri menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas perkenan Seri Paduka Baginda untuk mengisytiharkan darurat bagi kedua-dua bahagian pilihan raya berkenaan,” kata Muhyiddin lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mengumumkan PRK Gerik dan Bugaya masing-masing akan diadakan pada 16 Januari depan susulan kematian wakil rakyat dia kedua-dua kawasan berkenaan.

Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman, 63, meninggal dunia pada 16 November lalu akibat sakit jantung.

Sehari selepas pemergian Hasbullah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Manis Muka Mohd Darah, 65, pula menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu selepas mengalami masalah buah pinggang.

Sumber: https://www.astroawani.com/berita-politik/agong-perkenan-isytihar-darurat-bagi-prk-gerik-dan-bugaya-pm-273397?fbclid=IwAR27yvoFwupVK1jk5CcSyG154l9fQLhfxegjEU4M21pbdbGw9M0UBjKfWwE