Terkini!!! Anwar dilihat memasuki Istana Negara

Terkini!!! Anwar dilihat memasuki Istana Negara

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim memasuki kediaman Pintu 2, Istana Negara pada Selasa.

Kenderaan yang membawa Ketua Pembangkang itu dilihat memasuki Istana Negara pada jam 2.05 petang.

Sebelum ini, beberapa kenderaan yang memasuki Istana Negara membawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pada Isnin, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan selepas mendapat menyembah maklum dan mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Keputusan tersebut dibuat selepas Muhyiddin tidak lagi mendapat sokongan majoriti selepas 15 ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadapnya sebelum ini.

Bagaimanapun ahli Parlimen Pagoh itu kini menjalankan tugas selaku Perdana Menteri sementara sehingga seorang Perdana Menteri baharu dilantik.

Perkara tersebut selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Seri Paduka hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.

Selain itu Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan kepada Muhyiddin dan Jemaah Menteri atas khidmat bakti dan urus tadbir negara yang telah dilaksanakan di bawah Perikatan Nasional (PN) bermula 1 Mac 2020, khususnya dalam memerangi pandemik Covid-19.

Sumber – SinarHarian