Terkini!!! DBKL nafi keluar larangan penjualan arak di pasaraya, kedai serbaneka

Terkini!!! DBKL nafi keluar larangan penjualan arak di pasaraya, kedai serbaneka

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan hanya premis yang khusus menjual minuman keras sahaja tidak dibenarkan dibuka sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh selama 14 hari sejak 1 Jun lalu,

DBKL dalam satu kenyataan berkata, premis lain seperti kedai serbaneka atau pasar raya masih dibenarkan untuk menjual minuman keras di premis masing-masing.

“Menurut SOP (prosedur operasi standard) am PKP yang dikeluarkan oleh MKN menyatakan premis yang terlibat dengan penjualan makanan hanya dibenarkan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam dengan konsep bawa pulang sahaja.

“Kebenaran ini termasuk dengan premis kedai runcit dan kedai serbaneka.

“Premis yang khusus menjual minuman keras adalah tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh ini tetapi jualannya masih dibenarkan di premis kedai serbaneka atau pasar raya,” demikian menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, timbul kekeliruan selepas beberapa pasar raya di Kuala Lumpur diarahkan tidak menjual minuman keras.

Terdahulu hari ini, Setiausaha Agung MCA Choong Sin Woon mengkritik pihak berkuasa atas tindakan sedemikian, dan menyifatkan berlebih-lebihan berbanding arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya berpandukan peraturan MKN, penjualan minuman keras sepatutnya sama dengan penjualan minuman ringan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Rosol Wahid dilaporkan mempertahankan penutupan kedai minuman keras kerana ia bukan barangan keperluan.

Namun, dia dilaporkan berkata rokok tidak boleh dihentikan jualannya kerana akan menjadi beban buat perokok.

Sumber: https://m.malaysiakini.com/news/577641