Terkini!!! Ismail Sabri lapor polis, dakwa difitnah Lokman

Terkini!!! Ismail Sabri lapor polis, dakwa difitnah Lokman

Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob membuat laporan polis hari ini berhubung fitnah kononnya beliau cuba meyakinkan Ahli Parlimen supaya menjadi calon Bersatu jika mereka tidak dipilih sebagai calon Umno pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Laporan itu dibuat oleh setiausaha politiknya, Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi terhadap pemilik akaun Facebook bernama Lokman Adam yang didakwa membuat fitnah tersebut.

“Saya diarahkan membuat laporan ini berkaitan video yang saya teliti ketika berada di sekitar PWTC lebih kurang 11 pagi bertarikh 4 Julai 2021.

“Saya meneliti sebuah video berdurasi 1 jam 42 saat yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook bernama Lokman Adam.

“Setelah meneliti isi kandungan video tersebut saya dapati dengan jelas pemilik akaun Facebook bernama Lokman Adam ini membuat fitnah dan hasutan terhadap Ismail yang merupakan menteri kanan pertahanan dan juga naib presiden Umno,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan.

Katanya, Ismail memaklumkan beliau tidak pernah membuat sabarang kenyataan seperti didakwa Lokman.

Syed Fazmi memohon polis membuat siasatan dan seterusnya mendakwa pemilik akaun Facebook itu mengikut Akta Hasutan 1948, Akta AntiBerita Tidak Benar dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

“Sehingga kini video itu masih belum dipadamkan individu terbabit,” katanya selain memaklumkan bahawa Lokman dipecat daripada Umno sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sebelum ini.

Terdahulu, Lokman menerusi video dimuat naik pada 3 Julai di Facebooknya mendakwa Ismail cuba meyakinkan Ahli Parlimen Umno untuk menjadi calon Bersatu jika tidak terpilih mewakili Umno dalam PRU15.

“Dikhabarkan Ismail Sabri sampai ke tahap tuan-puan mengatakan bahawa sekiranya kita tidak dipilih menjadi calon pilihan raya yang akan datang, bila-bila masa kita boleh menjadi calon parti Bersatu yang hari ini kita tahu tidak cukup orang yang berwibawa.

“Dia (Ismail) mengatakan bahawa bila-bila masa kita boleh menggantikan Mohamed Azmin Ali dan Hamzah Zainudin yang tidak berapa cerdik ini,” dakwa Lokman.

Sumber – FMT