Terkini!!! Jamil Khir, koleksi penasihat terbaru Ismail Sabri
Meskipun Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini mengesahkan begitu parahnya pengurusan kewangan yang diamalkan kerajaan PN dan BN ketika ini, namun ianya tidak sedikitpun berjaya mengunci nafsu Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dari terus berbelanja mewah melantik barisan penasihatnya.
Terkini, menerusi laman FB pemimpin UMNO Kedah, Shahanim Yusoff, dia telah berkongsi berita gembira UMNO Kedah selepas pengerusinya, Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Baharom (B) dilantik sebagai penasihat agama kepada PM ke-9 itu.
Walaupun telah mempunyai Menteri Agama, Idris Ahmad dan Duta Khas Timur Tengah bertaraf menteri, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang dianggap pakar rujuk berkaitan hal agama Islam dalam kabinet Malaysia, namun ianya tidak mematahkan hasrat Ismail dalam menambah koleksi penasihatnya sedia ada.
Sebelum ini Ismail sudahpun mempunyai 2 penasihat melibatkan penasihat kesihatan dan penasihat undang-undang dan hak asasi manusia. Namun hanya pelantikan Azalina sahaja yang diumumkan ke dalam media.
Baru-baru ini,ketika menjawab soalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Pandan, Datin Seri Wan Azizah di dalam sidang Dewan Rakyat, Menteri Tugas-Tugas Khas Abdul Latiff Ahmad berkata terdapat tiga penasihat yang sedang menasihati perdana menteri masing-masing berhubung kesihatan, agama, serta undang-undang dan hak asasi manusia.
Menurut Abdul Latiff berkata perdana menteri akan melantik penasihat khas jika perlu berdasarkan kepakaran dan pengalaman mereka. Selain itu tambahnya,setiap penasihat juga dibayar menelan RM50 ribu setiap seorang termasuk kos pembayaran gaji kakitangan mereka.
Selepas melantik penasihat agama, peranan Menteri Agama, Idris dan Timbalannya, Marzuk dijangka semakin mengecil. Ini merupakan tamparan hebat buat Pas kerana tidak lagi mendapat kepercayaan PM dalam menasihati hal-hal berkaitan agama Islam.
Dalam pada itu, netizen juga menyelar pelantikan tersebut memandangkan Ismail sudahpun mempunyai menteri agama bagi memenuhi keperluannya mendapatkan nasihat berkaitan isu-isu agama.
Menurut netizen, dalam keadaan kenaikan barang yang semakin tidak terkawal, tindakan Ismail itu dianggap satu pemborosan wang negara yang tidak sepatutnya berlaku.
Malah mereka mendakwa pelantikan Jamil itu sebagai langkah Ismail mengukuhkan kedudukannya di dalam UMNO berdepan pemilihan parti yang dijangka berlaku selepas PRU-15 nanti.
Rasional melantik individu yang pernah terpalit dengan skandal pecah amanah melibatkan wang agensi YaPEIM satu ketika dahulu turut menimbulkan persoalan.