Terkini!!! Kenyataan media pengerusi PH Melaka

Terkini!!! Kenyataan media pengerusi PH Melaka

KENYATAAN MEDIA

PENGERUSI PAKATAN HARAPAN NEGERI MELAKA

5 OKTOBER 2021

PEMBUBARAN DEWAN UNDANGAN NEGERI MELAKA KEEMPAT BELAS

1. Merujuk kepada Sidang Media yang diadakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka pada 5 Oktober 2021 mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka Keempat Belas, jelas menunjukkan bahawa Datuk Seri Haji Sulaiman bin Md Ali, Ketua Menteri Kedua Belas telah kehilangan kepercayaan sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri untuk membolehkan beliau terus memegang jawatan Ketua Menteri Melaka.

2. Oleh itu, Pakatan Harapan Negeri Melaka berpandangan adalah tidak wajar untuk beliau dibenarkan menjadi Ketua Menteri “caretaker government”. Ini selaras dengan apa yang berlaku (“precedent case”) pada 2 Mac 2020, di mana tugas pentadbiran Kerajaan Negeri dipertanggungjawabkan kepada YB Setiausaha Kerajaan Negeri sehingga Ketua Menteri baharu dilantik.

3. Pakatan Harapan Negeri Melaka akan merujuk kepada mahkamah bagi memastikan keabsahan “caretaker government” sepertimana yang diumumkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka.

4. Pakatan Harapan turut berpandangan bahawa permohonan Datuk Seri Haji Sulaiman bin Md Ali kepada TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka untuk membubarkan DUN Melaka Keempat Belas mempamerkan sikap beliau yang tidak bertanggungjawab kerana rakyat masih lagi bergelut dengan pandemik Covid-19, malahan Pilihanraya Negeri Sarawak telah ditangguhkan atas alasan yang sama.

ADLY BIN ZAHARI