Terkini!!! Kronologi lengkap dari Istana Negara berkaitan isu pembatalan Ordinan Darurat

Terkini!!! Kronologi lengkap dari Istana Negara berkaitan isu pembatalan  Ordinan Darurat

Bismillahirrahma Nirrahim Qaullahul – Haq

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Waragatul Ikhlas Watah Fatul Akhyar iaitu daripada Beta Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah AlMusta’in Billah. Yang di-Pertuan Agong XVI.

Mudah-mudahan barang diwasalkan oleh Tuhan Seru Sekalian Alam kepada Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia yang berada pada masa ini di Pejabat Perdana Menteri Putrajaya dengan selamat dan sejahteranya.

Waba’dah Ehwal dengan ini Beta membawa perhatian Yang Amat Berhormat Tan Sri akan kenyataan yang telah dibuat di Dewan Rakyat pada 26 Julai 2021 oleh Ahli Parlimen Kota Bharu, Yang Berhormat Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan selanjutnya kepada sesi Majlis Menghadap secara maya pada 27 Julai 2021 pada jam 12.00 tengahari dengan Yang Amat Berhormat Tan Sri dan Yang Berbahagia Tan Sri Peguam Negara berhubung kenyataan bahawa Kerajaan telah membatalkan semua Ordinan-Ordinan Darurat yang berkuat kuasa sepanjang tempoh Proklamasi Darurat.

Suka Beta memaklumkan akan kronologi berhubung permohonan bagi pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut:

Pada 23 Julai 2021. Warkah daripada Yang Amat Berhormat Tan Sri dengan rujukan MKN.12(RB)600-1/2/1(32) bertarikh 23 Julai 2021 mengenai Pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat yang dimasyurkan di bawah Proklamasi Darurat diterima di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Keesokannya iaitu pada 24 Julai 2021, Beta telah menerima Warkah tersebut di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang.

Setelah Beta meneliti isi kandungan warkah tersebut, pada hari yang sama iaitu 24 Julai 2021 sekitar jam 4.30 petang. Beta telah menitahkan Yang Berhormat Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan dan Yang Berbahagia Tan Sri Peguam Negara untuk menghadap Beta secara maya. Perkara ini Beta laksanakan selaras Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

Semasa sesi menghadap secara maya tersebut. Beta telah menitahkan:

Tidak berkenan untuk menandatangani permohonan tersebut kerana lanya dilakukan secara tergesa-gesa laitu menjelang dua hari sebelum sidang Parlimen selain akan keperluan ianya diwartakan.

Memerlukan masa untuk menganalisa permohonan tersebut secara terperinci dan seterusnya mendapatkan pandangan lanjut daripada DuliDuli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.

Proklamasi dan Ordinan Darurat tersebut hendaklah dibentang dan diungkalkan di Parlimen selaras dengan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Terdapat beberapa persoalan berbangkit yang memerlukan penjelasan lanjut, khususnya berhubung tindakan undang-undang atau kompaun yang telah dikeluarkan di bawah Ordinan-Ordinan Darurat bagi tempoh 21 hingga 25 Julai 2021.

Kendatipun begitu, Beta berasa amat dukacita kerana apa yang telah Beta perkenankan dan dititahkan pula kepada Yang Berhormat Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan UndangUndang) dan Yang Berbahagia Tan Sri Peguam Negara semasa sesi mengadap secara maya pada 24 Julai 2021 bahawa cadangan pembatalan OrdinanOrdinan tersebut dibentang dan dibahaskan di Parlimen, telah tidak dituruti.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan UndangUndang) selanjutnya telah memberi kenyataan yang bercanggah dan tidak tepat dalam Dewan Rakyat pada 26 Julai 2021 bahawa Kerajaan telah membatalkan kesemua Ordinan-Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai 2021. Kenyataan Yang Berhormat Menteri tersebut pada hemat Beta telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Menarik perhatian Yang Amat Berhormat, Beta sedia maklum akan perlunya Beta bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti yang terkandung dalam Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

Walau bagaimanapun, keputusan muktamad berhubung pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut pada hemat Beta sewajarnya mengambil kira akan situasi-situasi semasa seperti berikut:

Cadangan pembatalan ini telah disembah lewat kepada Beta iaitu pada 24 Julai 2021. Tambahan pula, ianya terlalu hampir dengan tarikh persidangan Parlimen yang telah semua sedia maklum bakal bermula pada 26 Julai 2021.

Sebarang pembatalan Ordinan-Ordinan Daturat yang dilakukan secara tergesa-gesa dan tidak dibentangkan di Parlimen akan hanya menzahirkan impak negatif kepada Beta.

Pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat ini dilakukan dengan membelakangi fungsi dan kuasa Beta selaku Ketua Negara seperti yang terkandung di dalam Periembagaan Persekutuan.

Tarikh kuatkuasa pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat telah dikebelakangkan atau retrospective dengan berkuat kuasa pada 21 Julai 2021 manakala permohonan diterima pada 23 Julai 2021.

Pembatalan Ordinan Darurat adalah merupakan kuasa perlembagaan Beta dan bukannya terletak di atas kuasa Jemaah Menteri serata-mata.

Berdasarkan huraian-huraian di atas dan sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung, Beta menitahkan agar cadangan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat ini dibentang dan dibahaskan di Parlimen sebelum ditandatangani oleh Beta.

Titah beta Ini juga adalah selaras dengan cabutan Minit Mesyuarat Jemaah Menteri secara sidang videopada 21 Julai 2021 (muka surat 22) bahawa … “kesemua Ordinan berkenaan hendaklah dibentangkan (laid) dihadapan kedua-dua Majlis Parlimen seperti mana ditetapkan di bawah Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan. lanya juga selaras dengan prinsip akauntabiliti

Kerajaan kepada Partimen di bawah Perkara 43(3) Perlembagaan

Persekutuan.”

Wa Akhiruhu Kalam, demikianlah sahaja Beta maklumkan. Beta berdoa kehadrat Allah S.W.T mudah-mudahan Kerajaan di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Tan Sri dan seluruh rakyat Beta sihat walafiat, selamat sejahtera dan sentiasa berada dalam lindungan-Nya.

Wabillahitaufiq Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Termaktub di Istana Negara

Jalan Tuanku Abdul Halim 50480KUALA LUMPUR

Pada 29 Julai 2021M
19 Zulhijah 1442H