Terkini!!! Ku Li umum kesediaan dilantik sebagai ‘PM Interim’ gantikan Muhyiddin
Veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah berkata, beliau tidak menolak sekiranya diberi kepercayaan untuk dipilih sebagai Perdana Menteri interim jika negara sekali lagi berdepan krisis politik.
Memetik laporan Sinar Harian, Ahli Parlimen Gua Musang yang lebih dikenali sebagai Ku Li itu berpendapat, sesiapa sahaja termasuk dirinya akan memikul tanggungjawab tersebut jika ia dibuat demi kepentingan rakyat.
“Kalau dengar kepada banyak laporan takut kita hendak mencuba pun tetapi kalaulah itu menjadi tanggungjawab sesiapa sahaja mesti memikulnya kerana demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar dalam sebuah program bual bicara Bersama Ku Li yang disiar di semua platform Sinar Harian pada Rabu.
Pada 24 Februari tahun lalu, Malaysia buat pertama kalinya mempunyai Perdana Menteri Interim apabila Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri ketujuh.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan menerima peletakan jawatan itu, bagaimanapun kemudiannya telah berkenan Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim.
Pelantikan itu adalah sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Sumber – AstroAwani