Terkini!!! Mahkamah Persekutuan tolak kelulusan DUN Selangor beri kuasa semakan kehakiman terhadap Mahkamah Tinggi Syariah

Terkini!!! Mahkamah Persekutuan tolak kelulusan DUN Selangor beri kuasa semakan kehakiman terhadap Mahkamah Tinggi Syariah

Panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan hari ini sebulat suara mengisytiharkan bahawa tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor meluluskan peruntukan yang memberi kuasa semakan kehakiman kepada Mahkamah Tinggi Syariah di negeri itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata, Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 sebagaimana sedia ada turut bercanggah dengan perlembagaan.

“Saya mendapati Seksyen 66A enakmen tersebut bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu terbatal. Ini kerana ia merupakan satu peruntukan berlandaskan DUN yang tidak mempunyai kuasa menggubal undang-undang,” katanya seperti dilaporkan portal FMT.

Justeru katanya, notis usul difailkan oleh SIS Forum Malaysia dibenarkan dan deklarasi yang dimohon diberikan menurut Akta Mahkamah Kehakiman.

SIS memfailkan permohonan itu di Mahkamah Persekutuan pada 21 Jan 2020 selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakimannya terhadap fatwa pihak berkuasa agama Selangor yang melabelkan kumpulan itu menyeleweng daripada ajaran Islam.

Bagaimanapun, panel tidak menetapkan kos kerana perkara itu berkait kepentingan awam.

Hakim lain yang bersidang adalah Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf; Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim Mahkamah Persekutuan Mohd Zawawi Salleh, Vernon Ong, Zaleha Yusof, Harmindar Singh Dhaliwal dan Rhodzariah Bujang.

Tengku Maimun berkata, menurut beberapa keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini, kuasa semakan kehakiman hanya terletak pada mahkamah sivil.

“Dalam Senarai Persekutuan Perlembagaan Persekutuan, kuasa sedemikian terletak pada mahkamah sivil untuk memeriksa kuasa pihak berkuasa awam,” katanya.

Beliau berkata, semakan kehakiman adalah rakan kongsi kedaulatan undang-undang, pengasingan kuasa serta semak dan imbang terhadap kelampauan badan eksekutif dan perundangan.

Katanya, Seksyen 66A dalam bentuk semasanya jelas memiliki kuasa semakan kehakiman seperti yang dihasratkan oleh badan perundangan negeri Selangor.

“Itu adalah hasrat perundangan dalam menggubal Seksyen 66A untuk memberikan kuasa semakan kehakiman kepada Mahkamah Tinggi Syariah,” katanya.

Tengku Maimun berkata, menjadi kewajipan Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan peruntukan itu dan menyerahkan kepada badan perundangan negeri untuk menggubalnya semula selaras dengan Senarai Negeri.

SIS, sebuah syarikat yang didaftarkan dan dikendalikan oleh orang Islam, merujuk kepada mahkamah tertinggi itu bagi mencabar kecekapan DUN untuk meluluskan peruntukan yang membolehkan mahkamah agama negeri menyemak fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri.

Ia memohon deklarasi bahawa badan perundangan negeri tidak boleh meluluskan Seksyen 66A, yang menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah di negeri itu mempunyai bidang kuasa untuk mendengar semakan kehakiman terhadap keputusan majlis atau jawatankuasa agama negeri.

SIS berhujah, sebarang semakan kehakiman terhadap undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen dan DUN hanya boleh didengar di hadapan Mahkamah Tinggi sivil.

Peguam SIS Malik Imtiaz Sarwar dalam maklum balas segera berkata, keputusan hari ini amat penting kerana ia menjelaskan pemisahan antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah serta had ke atas DUN apabila menggubal sesuatu yang dikatakan undang-undang Islam.

“Keputusan ini dialu-alukan bagi menjelaskan dan mengulangi bahawa reka bentuk perlembagaan sistem persekutuan kita meletakkan kuasa kehakiman secara eksklusif pada mahkamah sivil,” kata Malik, yang dibantu oleh Fahri Azzat, N Surendra Ananth dan Ameirul Aizat.