Terkini!!! Mahkamah Tinggi arah Jho Low, bapa dedah lokasi & harta terkini dimiliki

Terkini!!! Mahkamah Tinggi arah Jho Low, bapa dedah lokasi & harta terkini dimiliki

Ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low dan bapanya, Tan Sri Larry Low Hock Peng hari ini diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi di sini, untuk mendedahkan lokasi terkini mereka dan harta yang dimiliki mereka.

Perintah tersebut dikeluarkan Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz dan perlu dipenuhi dalam masa 14 hari daripada tarikh perintah mahkamah ini diserahkan kepada kedua-dua individu terbabit.

Perkara tersebut dimaklumkan peguam Siva Kumar Kanagasabai yang mewakili 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada media selepas tamat prosiding yang dijalankan secara dalam talian itu.

Peguam terbabit turut memaklumkan, Jho Low atau nama penuhnya Low Taek Jho dan bapanya gagal membatalkan perintah injunksi Mareva yang diberikan mahkamah sebelum ini dengan kos RM5,000.

“Mahkamah mengarahkan agar perintah hari ini dihantar ke alamat terakhir kediaman kedua-dua defendan (Jho Low dan Hock Peng) di Tanjung Bungah, Pulau Pinang dan kepada peguam mereka.

“Mahkamah turut memerintahkan sekiranya kedua-dua defendan gagal mematuhi perintah Mareva yang mengarahkan mereka mendedahkan aset dan lokasi, keterangan kedua-dua defendan boleh dihalang daripada didengar di mahkamah, pembelaan mereka dibatalkan dan 1MDB boleh memohon penghakiman terus terhadp mereka,” kata Siva Kumar seperti dilaporkan Utusan.

Pada 16 Mac lalu, Mahkamah Tinggi di sini mengeluarkan perintah injunksi Mareva terhadap dua beranak itu yang menghalang mereka melupus atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia berjumlah AS$1.03 bilion selepas membenarkan permohonan 1MDB dan anak syarikatnya, Global Diversified Investment Company Limited.

Injunksi mareva adalah perintah sementara yang mengekang defendan daripada melupuskan aset sehingga keputusan dicapai dalam kes antara plaintif dan defendan.

Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya iaitu Global Diversified, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited memfailkan saman AS$3.7837 bilion terhadap Jho Low, bapanya, ibunya Puan Sri Goh Gaik Ewe, kakaknya May Lin, adik lelakinya Taek Szen serta rakan sekutunya, Eric Tan Kim Loong.

Menurut dokumen mahkamah, Hock Peng dihalang daripada mengalihkan, melupus atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia berjumlah AS$401.5 juta.

Injunksi itu juga mengehadkan Jho Low dan bapanya mengeluarkan wang tidak melebihi RM20,000 sebulan setiap seorang, yang diperlukan mereka untuk perbelanjaan sara hidup serta perbelanjaan guaman.

Sekiranya memerlukan lebih daripada jumlah itu, mereka perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada peguam 1MDB dan Global Diversified.

Perintah itu juga menyatakan Jho Low dan bapanya mestilah membuat pendedahan secara bertulis kepada 1MDB dan Global Diversified berhubung aset mereka pada nilai jumlah sama, sama ada di dalam atau di luar negara, di bawah namanya sendiri atau tidak dan milikan secara tunggal atau bersama defendan lain.

Mereka hendaklah memberikan nilai, lokasi serta segala maklumat aset dan maklumat itu perlu disahkan melalui suatu afidavit dan disampaikan kepada peguam plaintif pertama dan kelima dalam masa 14 hari selepas perintah tersebut disampaikan kepada peguam mewakili dua beranak berkenaan.