Terkini!!! Malaysia berdepan larangan berkunjung negara luar selagi isu vaksin tidak diselesaikan- Khairy Jamaluddin

Terkini!!! Malaysia berdepan larangan berkunjung negara luar selagi isu vaksin tidak diselesaikan- Khairy Jamaluddin

Negara luar digesa tidak terus menolak kehadiran pelancong dari Malaysia yang mengadakan lawatan, sama ada bagi tujuan pelancongan mahupun perniagaan, sekiranya mereka tidak mengiktiraf vaksin yang digunakan kerajaan.

Sebaliknya, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mencadangkan agar langkah saringan dan kuarantin boleh dilakukan sebelum rakyat negara ini dibenarkan memasuki negara terbabit.

“Kalau tak ada pengiktirafan vaksin pun dari segi ujian dibuat pada dua hari sebelum berlepas.

“Mungkin kuarantin dalam lima hari, dapat buat ujian sekali lagi, kalau clear boleh dilepaskan.

“Itu mungkin kompromi yang boleh difikirkan kalau dia tak iktiraf vaksin kita. Takkan kita nak suntik banyak kali,” katanya pada sidang media di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Sijil Digital Covid-19 Kesatuan Eropah (EU) hanya mengiktiraf vaksin AstraZeneca (AZ) yang diluluskan Agensi Perubatan Eropah (EMA).

Malaysia antara negara yang menggunakan vaksin AstraZeneca daripada pengeluar SK Bioscience Korea Selatan dan Siam Bioscience Thailand.

Dalam pada itu, sehingga kini Malaysia masih belum dimaklumkan berkenaan dasar imigresen sebahagian besar negara-negara yang tidak memuktamadkan jenis vaksin yang diterima pakai.

Ada negara yang sudah keluarkan syarat-syarat, contohnya syarat vaksin hanya diguna oleh negara tersebut

“Jadi ini adalah satu proses perbincangan yang masih berterusan dengan negara-negara lain,” katanya.

Khairy juga mengulangi gesaannya agar mana-mana negara perlu menerima sekurang-kurangnya satu polisi yang disenaraikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Saya telah cadangkan pendirian Malaysia adalah apa-apa vaksin yang telah disenaraikan oleh WHO perlulah diiktiraf ataupun sekurang-kurangnya perlu ada satu polisi.

“Ada sesetengah negara yang mengiktiraf vaksin tertentu, ada yang tidak, jadi ini akan menimbulkan satu kekeliruan sekiranya tidak ada dasar yang jelas,” jelasnya.

Katanya, Malaysia bukan satu-satunya negara di dunia yang menggunakan pelbagai jenis vaksin Covid-19.

“Arab Saudi, Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat dan China adalah destinasi paling popular untuk rakyat Malaysia sama ada untuk percutian ataupun perniagaan.

“Jadi kita kena ada satu dasar yang dipersetujui semua sebab di Malaysia kita pakai pelbagai vaksin, sama juga dengan negara-negara lain pakai pelbagai vaksin,” katanya.

Sumber – MalaysiaGazette