Terkini!!! Mantan Mufti Sabah, Datuk Haji Ismail Abbas telah kembali ke RahmatuLLah

Terkini!!! Mantan Mufti Sabah, Datuk Haji Ismail Abbas telah kembali ke RahmatuLLah

BIODATA DATUK HAJI ISMAIL ABBAS

Latar belakang Keluarga

Tuan Guru Datuk Haji Ismail Abbas di lahirkan di Kampung Permatang Tok Gelam, Kepala Batas Pulau Pinang pada tahun 1931. Ibu bapa beliau hanyalah orang kampong biasa yang menjalankan kehidupan melalui aktiviti penanaman padi seperti mana yang dilakukan oleh jiran-jirannya yang lain. Ayah dan emak beliau seorang yang ummi iaitu tidak tahu membaca dan menulis. Walau bagaimanapun dengan kuasa Allah s.w.t tanpa diketahui puncanya emak beliau akhirnya mampu  membaca al-Quran dengan baik.

Dari kecil sehingga berumur 19 tahun Datuk Ismail Abbas tidak pernah berenggang dengan ibu bapanya. Beliau sangat rapat dengan keluarga dan sering membantu kerja-kerja ayahnya. Di zaman penaklukan Jepun keluarga beliau pernah berpindah ke satu kawasan lain yang selamat kerana di katakan tapak kampong mereka akan diambil alih oleh tentera Jepun untuk dijadikan kem. Walau bagaimanapun rancangan itu tidak menjadi kenyataan dan mereka pulang kembali ke kampong asal selepas kekalahan Jepun pada tahun 1945.

Pengalaman paling manis di zaman kanak-kanak ketika berumur tujuh tahun dan masih diingati sehingga sekarang ialah beliau pernah bertemu dengan tokoh ulama yang terkenal ketika itu dalam satu majlis solat jenazah di kampungnya. Tokoh tersebut ialah Abdullah Fahim datuk kepada Perdana Menteri Malaysia sekarang.[1]

Pendidikan Rendah

Mula memasuki Sekolah Rendah Atap Permatang Tok Jaya pada tahun 1937. Terpaksa berhenti sekolah ketika penaklukan Jepun ke atas Tanah Melayu. Pernah mengikuti sekolah Jepun selama 2 tahun sahaja. Di peringkat sekolah rendah ini, pencapaian beliau hanyalah setakat pandai membaca,menulis dan sedikit mengira.

Selepas Jepun kalah  ketika berumur 14 tahun beliau menyambung persekolahan di sebuah sekolah agama di kampongnya iaitu Madrasah Al-Falah. Melalui galakan ibu bapa dan inspirasi yang diperolehi daripada Syeikh Abdullah Fahim, beliau bersungguh-sungguh mempelajari ilmu-ilmu agama dan Bahasa Arab. Akhirnya beliau dapat menguasai ilmu-ilmu asas dalam Islam dan dalam Bahasa Arab pula beliau dapat memahirkan diri dalam ilmu Nahu dan Saraf.

Pendidikan Menengah dan Universiti

Ketika berumur 19 tahun, Datuk Ismail Abbas memohon izin ayahnya untuk melanjutkan pelajaran ke Mekah walaupun dia sedar bahawa ibu bapanya mungkin tidak mampu membiayai pengajian beliau ke sana. Namun hasrat murni di dalam hati harus disampaikan juga kerana adanya rangsangan luar biasa dan ditambah lagi dengan perasaan cemburu kepada kawan rapatnya Ahmad bin Soleh yang sudah pun bertolak ke Mekah ketika itu.

Ayah yang baik sudah tentu tidak akan menghampakan hasrat anaknya yang disayangi lebih-lebih lagi perkara yang diminta merupakan sesuatu yang sangat tinggi nilainya di dalam Islam iaitu menuntut ilmu.Walaupun sedar kekurangan diri, ayahnya tetap berjanji akan menghantar beliau ke Mekah dengan segera sebaik sahaja mendapat duit yang cukup hasil jualan padi pada musim akan datang. Dipermudahkan Allah s.w.t pada tahun tersebut tuaian padi ayahnya sangat menjadi dan hasil jualan yang diperolehi cukup untuk membeli tambang  kapal laut ke Mekah dan sedikit untuk perbelanjaan dalam perjalanan. Ketika itu kos tambang melalui kapal laut dari Malaysia ke Jeddah ialah RM450.00 untuk pergi dan balik semula ke tanah air. Ketika itu wajib membeli tiket kedua-dua hala perjalanan pergi dan balik semula. Walau bagaimanapun  tiket untuk pulang boleh dijual kepada orang lain yang mahu pulang ke Tanah Melayu.

Pada tahun 1951, beliau bertolak ke Mekah untuk menyambung pengajian pada peringkat syahadah(sijil) di Darul Ulum, Mekah sehingga tahun 1955. Pada tahun 1961 pula beliau dapat melanjutkan pelajaran ke Universiti Madinah sehinggalah tamat pada tahun 1970 dalam bidang syariah. Beliau tidak mahu menyebut nama guru-guru beliau semasa di sana, hanya sekadar menyatakan terlalu ramai dan memuji kerajinan, ketekunan dan keikhlasan mereka mengajar.

Rumahtangga

Datuk Ismail Abbas berkahwin pada tahun 1963 dengan isterinya sekarang Datin Solehah binti Saad yang juga berasal dari Pulau Pinang tetapi telah lama menetap di Kota Mekah. Ketika melangsungkan perkahwinan beliau masih lagi dalam pengajian di Universiti Madinah. Sebelum pulang ke Malaysia, sempat dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Salman, Syuib dan Yasir.

Isteri beliau tidak bekerja dan hanya menjaga hal-ehwal rumahtangga. Selepas pulang ke tanah air, mereka dikurniakan lagi lima orang cahaya mata. Kini, semuanya sudah pun besar dan telah mendirikan rumahtangga masing-masing. Anaknya yang sulung, Haji Salman menjadi usahawan yang berjaya di Kota kinabalu melalui syarikat induknya Hidayah Permai Construction Sdn. Bhd. Manakala Syuib sedang bertugas di Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Negeri Sabah dan Dr.Yasir pula sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kuala Lumpur.

Kerjaya sebagai Pendidik, Pegawai Agama dan Mufti

Selepas tamat syahadah, Datuk Ismail Abbas sempat mengajar di Darul Ulum selama dua tahun sebelum melanjutkan pelajaran ke Madinah. Ketika mengajar, beliau banyak memperolehi banyak pengalaman dan dapat meningkatkan kemahiran bahasa Arab.

Kerjaya sebagai pembimbing jemaah haji dan umrah sepanjang tempoh berada di Mekah dan Madinah memang menjadi rutin dalam kehidupannya bersama kawan-kawan sepengajian yang lain. Melalui aktiviti inilah yang membawa beliau mengenali Tun Mustapha, bapa kemedekaan negeri Sabah sehingga menerima tawaran Tun untuk berkhidmat di sini.

Tun Mustapha membawa Datuk Ismail Abbas ke Sabah bersama seluruh keluarganya pada awal tahun 1971 dan pada 17 Februari bulan berikutnya, beliau memulakan kerjaya barunya di Kota Kinabalu sebagai guru agama. Selepas enam bulan bertugas, beliau dipindahkan pula ke Sandakan sebagai Guru Besar di Sekolah Agama Kampung Karamunting selama 2 tahun. Ketika berada di Sandakan, kerja beliau agak berat kerana terpaksa mengajar waktu sesi pagi dan petang akibat masalah kekurangan tenaga pengajar ketika itu. Di waktu malam pula beliau sibuk mengadakan kuliah-kuliah agama di masjid-masjid kampong di sekitar Bandar Sandakan. Lokasi mengajar yang agak mencabar ialah di Pulau Tanjung Aru kerana terpaksa menaiki perahu setiap kali pergi ke sana.

Setelah tertubuhnya Majlis Ugama Islam Sabah(MUIS), Datuk Ismail Abbas dipindahkan pula ke Kota Kinabalu sebagai Pegawai Agama di Bahagian Persekolahan. Di bahagian ini beliau menjalankan tugas sebagai pegawai yang mengatur pengambilan guru-guru baru, peperiksaan, hal-ehwal murid dan sebagainya. Beliau kekal dalam jawatan ini  sehinggalah berakhirnya kerajaan USNO pada tahun 1976.

Pada penghujung tahun1976, beliau dilantik ke jawatan Timbalan Mufti Sabah selama 9 tahun. Sepanjang tempoh ini beliau pernah berkhidmat di bawah Mufti Haji Muhammad bin Ahmad yang berasal dari Melaka. Kemudian di bawah Haji Said Ibrahim selama 6 tahun dan yang terakhir di bawah Datuk Ahmad Idris yang meninggal dunia semasa pemerintahan Parti Bersatu Sabah(PBS).

Pada tahun 1987 di atas permintaan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah ketika itu, Abdul Rahim Osman, beliau secara rasminya dilantik sebagai Mufti Negeri Sabah yang baru. Beliau menjawat jawatan Mufti ini selama 10 tahun kerana jawatannya sentiasa diperbaharui setiap 3 tahun sehinggalah bersara sepenuhnya pada tahun 1998.

Pengembaraan

Pergi ke Kota Mekah dan Madinah untuk menuntut ilmu selama 20 tahun(1951 hingga 1971) adalah satu pengembaraan  yang agak lama. Dalam pengembaraan pertama yang bersejarah ini Datuk Ismail Abbas mendapat banyak ilmu dan pengalaman berguna untuk dibawa kembali ke tanah air, di antaranya:

• Dapat menimbah ilmu-ilmu Islam dari dua Tanah Suci  Mekah dan Madinah yang juga merupakan bermulanya sejarah Rasulullah s.a.w membawa risalah Islam kepada umat manusia di akhir zaman ini.

• Mendapat pengalaman bekerja sebagai mutauwif jemaah haji dan umrah setiap tahun khususnya kepada jemaah Malaysia, mengajar di Darul Ulum, berkeluarga di sana, menyaksikan kematian ayahnya di Mekah  pada tahun 1955, menyambut kelahiran 3 orang cahaya mata pertama  dan kedatangan ibunya ke Mekah pada tahun 1959.

• Menjalin hubungan yang rapat dengan guru-guru yang muktabar di Tanah Suci, mendapat ramai kawan-kawan seperjuangan dan mengenali ramai pemimpin Malaysia terutama Tun Mustapa.

Pengembaraan kedua yang menarik ialah semasa pergi melawat Pakistan khususnya di Kota Kerachi. Beliau amat terkejut dengan kota ini yang dikenali sebagai kota milik umat Islam tetapi di dalamnya  terdapat banyak bangunan gereja.

SEBAGAI PENDAKWAH

Datuk Ismail Abbas menganggap tugas yang diamanahkan  kepadanya sebagai guru, pegawai agama dan mufti adalah sebahagian daripada usaha menyampaikan dakwah dan medan menjelaskan  risalah Islam yang murni kepada umat Islam sendiri, orang bukan Islam dan pihak pemerintah.
Prinsip dan Matlamat Dalam Berdakwah

Datuk Ismail Abbas amat memahami manhaj dakwah Islam apabila menetapkan dalam prinsip hidupnya bahawa jawatan yang dipegang tidak sepatutnya dipohon. Katanya sesiapa yang memohon sesuatu jawatan akan dibebankan dan sesiapa yang dilantik akan ditolong. Prinsip ini sebenarnya berasal daripada sabda Rasulullulah s.a.w yang melarang seseorang itu memohon sesuatu jawatan. Beliau telah membuktikan prinsip ini benar-benar berlaku dalam hidupnya apabila semua jawatan yang pernah disandang sebelum ini tidak pernah dimohon tetapi ada pihak lain yang menawarkan kepadanya.

Bagi beliau memiliki segolong ijazah bukanlah melambangkan ketinggian ilmu yang sebenar. Anugerah ijazah hanyalah tangga-tangga yang diciptakan oleh manusia untuk mengkategorikan tahap keilmuan seseorang tetapi kebanyakannya tersasar daripada matlamat sebenar. Ilmu-ilmu Islam yang sebenar ialah apa yang diperolehi melalui sumber-sumber yang sahih melalui guru-guru yang muktabar dan kitab-kitab lama yang ditulis bersumberkan al-Quran,  al-Hadith, ijma’ sahabat dan para ulama’ yang jujur dan ikhlas kepada Allah s.w.t. Kebolehan membaca, meneliti, menganalisa dan seterusnya mengamalkan ilmu yang dimiliki itu merupakan prasyarat kepada seseorang yang boleh digelar sebagai ulama pewaris Nabi.

Beliau sentiasa mengingatkan dirinya dan orang lain supaya sentiasa merendah diri kepada ilmu kerana katanya seseorang yang bongkak dan takabbur dengan ilmunya tidak akan ke mana dan akan dilaknat di hari kemudian. Bagi beliau ilmu itu terlalu luas bagaikan lautan tak bertepi. Sepatutnya fitrah orang yang berilmu ialah semakin tinggi  tahap ilmunya maka semakin  tinggi perasaan kekurangan ilmu yang ada padanya.

Apa juga yang kita lakukan samada yang tersurat atau tersirat mestilah berdasarkan kepada aqidah, syariat dan akhlak Islam yang murni sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Ertinya seluruh kehidupan ini hendaklah diaturcarakan oleh Islam secara lengkap dan syumul.

Matlamat dalam berdakwah ialah menyampaikan ajaran Islam yang benar-benar murni terutama kepada ahli keluarga yang terdekat, kawan-kawan, jiran-jiran dan seterusnya kepada orang luar dan golongan bukan Islam. Semoga dengan usaha dakwah yang dibuat akan meningkatkan kefahaman  orang ramai kepada Islam dan seterusnya mereka  bersedia beramal dengannya. Keredhaan Allah s.w.t di dunia dan diakhirat merupakan matlamat akhir seseorang pendakwah.

Sumber Dakwah

Sumber dakwah Datuk Ismail Abbas ialah ilmu agama dan pengalaman luas yang beliau perolehi sendiri semasa menuntut di Mekah dan Madinah selama 20 tahun. Al-Quran dan al-Hadith serta pelbagai kitab dalam bahasa Arab yang mengelilingi hampir keseluruhan ruang tamu beliau.

Pengalaman dan Cabaran Dakwah

1. Menjadi mutauwif kepada jemaah haji di Mekah dan Madinah dengan mengajar mereka kaifiat dan manasiq haji serta umrah yang betul. Pernah menegur kesilapan Tun Mustapa yang membenarkan jemaah hajinya pulang semula ke Madinah, membuka ihram dan melanggar pantang larang ihram setelah tersekat dengan banjir dalam satu perjalanan menuju Mekah. Tun Mustapa amat marah kepada tegurannya itu tetapi hanya dapat bersabar sahaja kerana tidak berupaya berhujah lagi memandangkan Tun Mustapa ketika itu sangat berkuasa dan sukar menerima teguran.

2. Pernah diminta oleh seorang menteri Sabah supaya memberikan fatwah  menghalalkan derma seorang taukeh Cina bukan Muslim bagi pembinaan tiga buah masjid. Beliau pada mulanya menghadapi kesukaran memberikan pandangan tetapi akhirnya mengizinkan sumbangan tersebut boleh diterima dengan syarat taukeh bukan Islam berkenaan tidak disebutkan namanya samada dalam majlis penerimaan sumbangan mahupun di dalam premis masjid yang akan dibina. Taukeh tersebut yang gilakan nama akhirnya membatalkan sumbangan yang hendak dihulurkan kerana tidak dapat menerima syarat-syarat yang telah diberikan.

3. Pernah menolak untuk memberikan sokongan kepada penganjur sebuah majlis jogathon yang dianjurkan untuk mengumpul dana untuk disumbangkan kepada rumah kebajikan dan anak yatim. Ini kerana dalam program tersebut ada dimasukkan aktiviti mungkar dan tidak halal sedangkan yang beliau fahami, Islam tidak pernah menghalalkan kerja maksiat untuk mencapai matlamat yang baik.

4. Sebagai tenaga pengajar yang aktif di masjid-masjid dan surau ketika berada di Sandakan dan Kota Kinabalu sehingga sekarang.

Pengelibatan dalam Badan Organisasi  Dakwah

Datuk Ismail Abbas tidak  terlibat secara langsung dengan badan-badan dakwah bukan kerajaan. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh kebanyakan badan-badan dakwah yang ada di Sabah hanya muncul kemudian sedangkan beliau sudah pun melaksanakan lebih awal tugas-tugas dakwah  di negeri ini dalam pelbagai peringkat.

Pendorong Dakwah

Sirah Nabi Muhammad s.a.w adalah pendorong utama dalam usaha beliau menyampaikan risalah Islam kepada orang ramai. Kesedaran mengenai kekurangan ilmu dan banyaknya amalan-amalan yang tidak selari dengan syariat Islam di kalangan penduduk Sabah berbanding dengan apa yang dilihatnya selama dua puluh tahun di Tanah Suci,  banyak mendorong beliau untuk berdakwah dengan lebih giat lagi. Para ulama’ muktabar  dan guru-guru beliau yang sangat didikasi dan ikhlas, sentiasa menjadi  inspirasi penting dalam perjuangannya meninggikan syiar Islam  di negeri Sabah.

Isu-isu

Datuk Ismail Abbas menyebut mengenai tokoh-tokoh ilmuan semasa yang lebih mementingkan ijazah, imej kendiri, pendapatan lumayan dan kedudukan dalam masyarakat berbanding dengan nilai-nilai ilmu dan  ibadah yang dipersembahkan kepada Allah s.w.t.

Kebanyakan daripada mereka telah meninggalkan tradisi keilmuan Islam yang penting iaitu meneliti, membaca, membahas dan menganalisa kitab-kitab lama yang telah ditulis oleh para ulama muktabar.

Ramai daripada golongan ilmuan masakini  yang cekap dan pandai berpidato di hadapan ramai tetapi gagal menunjukkan contoh teladan yang baik dalam masyarakat serta kurang menjalankan usaha dakwah yang mencabar.

Pengaruh, Sumbangan dan Pengiktirafan

Perkhidmatan Datuk Ismail Abbas  ynng begitu lama di Sabah sehingga ke umur persaraan, menyebabkan nama beliau selalu disebut dan menjadi rujukan alternatif dalam apa-apa masalah yang dihadapi oleh umat Islam di Sabah. Walaupun pernah dijerkah dan dimarahi oleh Tun Mustapa semasa di Tanah Suci,  tetapi di akhir-akhir usia, Tun selalu meminta pandangan dan nasihat daripada beliau.

Pandangan yang paling mengembirakan Tun ialah penjelasan bagaimana kaedah solat yang sebenar ketika dalam keadaan masalah kencing tidak terkawal. Beliau memberi panduan bernas dan menggembirakan Tun iaitu  dengan memakai lampin ketika solat dan mengulangi wuduk setiap kali masuk waktu sembahyang berbanding nasihat orang lain sebelumnya yang agak mengelirukan.

Datuk Ismail Abbas ada  mewakafkan sebidang tanah bersaiz lebih kurang 3 ekar di tepi jalan yang terletak di antara Beaufort dan Menumbuk  untuk dijadikan tapak masjid dan pusat pendidikan Islam.

Di atas jasa-jasa yang ditaburkan sepanjang dalam perkhimatan,  beliau telah dianugerahkan gelaran Datuk daripada Tuan Yang Terutama negeri Sabah.