Terkini!!! Pastikan tiada ‘kluster mahkamah’ dalam kabinet, Muhyiddin tegaskan sokongan PN terhadap Ismail Sabri bersyarat

Terkini!!! Pastikan tiada ‘kluster mahkamah’ dalam kabinet, Muhyiddin tegaskan sokongan PN terhadap Ismail Sabri bersyarat

KENYATAAN MEDIA
PENGERUSI PERIKATAN NASIONAL

Parti Perikatan Nasional (PN) telah sebulat suara bersetuju untuk mencalonkan mantan Timbalan Perdana Menteri, YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, sebagai calon Perdana Menteri Kerajaan Perikatan Nasional yang baharu.

Semua 50 Ahli Dewan Rakyat dari parti-parti gabungan PN, iaitu 31 Ahli Dewan Rakyat BERSATU, 18 PAS dan 1 STAR telah menyerahkan Akuan Bersumpah ke Istana Negara pada 18 Ogos 2021 menyatakan sokongan kepada YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob sebagai calon Perdana Menteri. 4 Ahli Dewan Rakyat bebas Pro-PN juga telah berbuat demikian.

Saya juga telah berunding dengan pimpinan parti GPS dan PBS yang membentuk Kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini untuk mengambil ketetapan yang sama.

Keputusan ini dibuat demi menjamin kesinambungan dasar-dasar Kerajaan Perikatan Nasional yang sedang menumpukan kepada usaha memerangi COVID-19 dan memulihkan negara sehingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan Pilihanraya Umum bagi mengembalikan mandat kepada rakyat.

Keputusan ini juga bermakna Perikatan Nasional lebih mengutamakan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat berbanding politik dendam dalam persaingan merebut kuasa. Apabila berhadapan dengan situasi krisis, ahli politik mesti berjiwa besar (magnanimous) demi kepentingan rakyat dan negara.

Selaras dengan prinsip Perikatan Nasional untuk mempertahankan kerajaan yang berintegriti, suka saya menegaskan bahawa sokongan PN kepada YB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang juga merupakan Naib Presiden UMNO adalah bersyarat.

Sekiranya dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, beliau hendaklah memastikan Ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik nanti adalah terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan beliau juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan.

Saya berharap proses pelantikan Perdana Menteri yang baharu dapat berjalan lancar dan dimuktamadkan dalam masa terdekat menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.

Selaku Pengerusi Perikatan Nasional, saya akan meneruskan khidmat bakti kepada rakyat dan mempersiapkan parti bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 apabila tiba masanya.

TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
Pengerusi
Perikatan Nasional
19 Ogos 2021