Terkini!!! Pejabat Muhyiddin tetap bertegas tindakan kerajaan dalam isu pembatalan Ordinan Darurat selaras perlembagaan

Terkini!!! Pejabat Muhyiddin tetap bertegas tindakan kerajaan dalam isu pembatalan Ordinan Darurat selaras perlembagaan

Pejabat Perdana Menteri menyatakan apabila Darurat tidak bersambung Jemaah Menteri memutuskan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan oleh baginda epanjang tempoh darurat berkuatkuasa.

Dalam satu kenyataan, pejabat Perdana Menteri  memperjelaskan tiga ketetapan yang diputuskan kabinet susulan kenyataan media Istana Negara, hari ini. 

“Pertama, Mesyuarat Khas Parlimen diadakan setelah mendapat perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Kedua, Jemaah Menteri tidak akan menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membuat Proklamasi Darurat baharu setelah darurat sedia ada tamat pada 1 Ogos 2021.

“Ketiga, oleh kerana darurat tidak akan disambung, Jemaah Menteri memutuskan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda Tuanku sepanjang tempoh darurat berkuatkuasa,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Kata kenyataan itu lagi, kerajaan berpandangan semua tindakan mengenai pembatalan Ordinan Darurat yang diambil adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, kenyataan yang dibuat  Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan adalah satu kenyataan fakta yang bertujuan memaklumkan kepada Dewan Rakyat keadaan sebenar secara telus.

Jelas kenyataan itu lagi, Perdana Menteri telah menyembah maklum pandangan kerajaan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 27 Julai lalu bahawa kesemua ordinan darurat tersebut tidak perlu diungkaikan oleh Parlimen.

Ia memandangkan Jemaah Menteri telah pun menasihati Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membatalkannya.

“Pemakluman oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) telah menimbulkan persoalan mengenai status perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke atas Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021.

“Oleh itu, Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Peguam Negara telah memohon menghadap  Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 27 Julai 2021 pukul 12.00 tengahari untuk menjelaskan kedudukannya.

“Pada sesi menghadap ini, Perdana Menteri telah sekali lagi memberikan nasihat Jemaah Menteri mengenai pembatalan ordinan-ordinan darurat tersebut serta membuat penjelasan atas kekeliruan yang cuba ditimbulkan oleh pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat.

“Perdana Menteri juga telah menyembah maklum pandangan Kerajaan bahawa kesemua ordinan darurat tersebut tidak perlu diungkaikan oleh Parlimen memandangkan Jemaah Menteri telah pun menasihati  Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkannya.

“Di samping itu, sidang Parlimen yang berlangsung adalah Mesyuarat Khas yang diadakan di bawah Peraturan Mesyuarat 11 (3) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang agendanya adalah penerangan menteri dan tiada sebarang usul untuk mengungkai ordinan darurat,” demikian menurut kenyataan itu sebentar tadi.

Sumber – AstroAWANI