Terkini!!! Saspek keempat ditahan, warganet dakwa Sanusi tempah kejatuhan sendiri
Penganalisis IT menjadi individu keempat ditahan polis selepas membuat hantaran “berbaur ugutan” terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor di Facebook.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Adzli Abu Shah, berkata suspek berusia 25 tahun itu menghantar mesej kepada Sanusi menerusi laman sosial terbabit.
Mesej itu dihantar sebagai maklum balas terhadap kenyataan Sanusi membabitkan kontena jenazah bagi mangsa Covid-19, sekali gus menjadikan suspek keempat ditahan polis susulan dakwaan menghina atau mengugut terhadap Menteri Besar berkenaan.
Pada 6 Ogos lalu, Sanusi sekali lagi menjadi sasaran kritikan di media sosial berikutan kenyataan kontroversi, “kontena jenazah mencukupi, siapa nak masuk, bagi nama”.
Sanusi berkata demikian pada sidang media selepas mengunjungi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega di Sport Arena Aman Jaya di Kuala Muda.
Bagaimanapun, keesokannya Sanusi memohon maaf atas keterlanjuran gurauan itu.
Penganalisis IT terbabit membuat hantaran jelik terhadap Sanusi dengan mengaitkan ibunya dalam kenyataan “berbaur ugutan”.
Adzli berkata, suspek itu ditahan di kediamannya, di Aulong, Taiping, Perak, pada 12.15 tengah malam tadi dan dibawa ke Sungai Petani untuk disoal siasat.
Katanya, polis turut memperoleh perintah reman selama tiga hari daripada Mahkamah Majistret Sungai Petani, bagi tujuan melengkapkan siasatan.
Beliau berkata, penahanan suspek berkenaan dilakukan susulan pengendali laman Facebook Sanusi membuat laporan polis mendakwa komen ditujukan mengandungi unsur menghina serta ugutan terhadap Menteri Besar.
Beliau berkata, suspek disiasat kerana secara sengaja menghina dengan tujuan mengganggu gugat keamanan, penyalahgunaan medium komunikasi dan perbuatan menghina.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Sumber – FMT