Terkini! Seorang lagi ahli parlimen PN sokong Anwar

Terkini! Seorang lagi ahli parlimen PN sokong Anwar

 

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjadikannya wakil rakyat pembangkang keenam bertindak demikian.

Zulkafperi berkata, pengisytiharan sokongan tersebut dibuat sepenuh hati demi kepentingan penduduk Tanjong Karang tanpa sebarang paksaan dan tekanan daripada mana-mana pihak.

Bagaimanapun, beliau menegaskan untuk tetap setia sebagai ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan tidak akan mengkhianati parti itu.

“Menyedari keperluan kepada kestabilan politik dan kelancaran pemulihan ekonomi negara serta menginsafi keperitan kehidupan rakyat dengan kos sara hidup yang menghimpit ketika ini, maka saya, selaku Ahli Parlimen Tanjong Karang dengan ini mengisytiharkan untuk memberi sokongan kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri ke-10 bermula dari tarikh kenyataan media ini dikeluarkan.

“Keputusan ini adalah bertujuan untuk memastikan nasib dan pembangunan penduduk di Parlimen saya terus terbela dan akan mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan infrastruktur dan keperluan setempat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Zulkafperi turut menyatakan sokongan kepada dasar dan inisiatif Kerajaan Madani yang mengutamakan kebajikan, pembangunan, ekonomi dan kepentingan rakyat sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Bagi mengelakkan sebarang keraguan, saya ingin menegaskan bahawa dengan ini saya masih setia sebagai ahli Bersatu dan tidak akan mengkhianati Parti Bersatu, namun demi memastikan kelangsungan P095 Tanjong Karang seiring dengan pemerintahan peringkat Persekutuan, adalah wajar untuk saya bersama dengan kepimpinan Putrajaya yang diketuai oleh Anwar.

“Buat semua penduduk Tanjong Karang yang sangat saya kasihi, marilah kita bekerjasama dan menyokong Kerajaan Madani pada hari ini serta sama-sama berdoa semoga ALLAH SWT sentiasa memberkati bumi bertuah Tanjong Karang dan kita semua mendapat limpahan pembangunan sebagaimana yang kita harapkan,” katanya.

Pada 6 Januari lalu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dilapor berkata, seramai lapan ahli Parlimen pembangkang dijangka akan beralih dan memberikan sokongan kepada Anwar, pada Februari depan.

Katanya, perkara itu dijangka berlaku pada sidang pertama Dewan Rakyat tahun ini.

Sebelum ini, seramai lima wakil rakyat daripada Bersatu menyatakan sokongan kepada Anwar iaitu, Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik; Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) termasuk Syed Abu Hussin Hafiz.