Terkini!!! Seorang lagi Exco Pas Terengganu dikompaun RM2,000 langgar SOP Aidilfitri

Terkini!!! Seorang lagi Exco Pas Terengganu dikompaun RM2,000 langgar SOP Aidilfitri

Seorang lagi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai, Hanafiah Mat dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) pada pagi 1 Syawal.

Hanafiah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri dikenakan tindakan kompaun itu semalam kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkaitan larangan aktiviti ziarah sempena Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, wakil rakyat itu dipanggil memberi keterangan selepas gambarnya melawat anak yatim dan memberi duit raya pada pagi 1 Syawal (Khamis lalu) tular di media sosial.

“Adun Chukai terbabit hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman kira-kira 9 malam tadi dan dikenakan kompaun RM2,000 kerana melanggar SOP ditetapkan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sementara itu, Hanafiah menerusi laman Facebooknya berkata, beliau reda apabila dikenakan kompaun kerana melanggar SOP.

“Saya menerima panggilan daripada seorang ibu mengatakan anaknya teringin makan satay pada pagi raya sebelum saya ke sana untuk menghantar hidangan itu bersama kuih dan duit raya untuk anak mereka.

“Ketika itu, ada dalam empat hingga enam rumah yang saya kunjungi untuk tujuan sama.

“Saya reda (dikenakan kompaun), sekurang-kurangnya saya boleh menjawab kepada Allah SWT (nanti), amanah yang orang letakkan ke atas saya sebagai wakil rakyat, saya sudah tunaikan permintaan mereka.

“Demi rakyat, saya rela berkorban, dikompaun,” katanya. – HM