Terkini!!! YB ‘Babi’ nafi dakwaan akan melompat semula
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee menafikan dirinya kembali ‘melompat’ menyokong Pakatan Harapan (PH) serta terbabit dalam gerakan beberapa wakil rakyat yang didakwa akan berpaling tadah.
Katanya, beliau tidak sesekali membuat pusingan U dan kembali menyokong parti lamanya.
“Semua orang boleh bercakap. Jadi, biarlah orang bercakap kerana itu mulut masing-masing.
“Saya baru bergaduh dengan pembangkang semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu lepas. Saya juga selalu turun padang dan mungkin membuatkan mereka sakit hati kerana melihat saya buat kerja dengan tenang sekarang ini,” katanya menurut laporan Mingguan Malaysia.
Terdahulu, FMT melaporkan spekulasi kerajaan Melaka yang diterajui Umno bakal tumbang bertiup kencang selepas empat ADUN daripada Barisan Nasional (BN) dan Bersatu didakwa akan menyokong Pakatan Harapan (PH).
Bercakap kepada FMT, sumber yang rapat dengan perkara itu berkata, perbincangan antara PH dan empat ADUN itu berlangsung sejak dua bulan lalu ketika ketegangan antara Umno dan bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mencapai kemuncak.
Dalam pada itu Norhizam berkata, buat masa ini dirinya masih menjalankan tugas selaku Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri seperti biasa.
Semalam, Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali mengingatkan pihak yang mahukan jawatan disandangnya untuk bertemu sendiri dengan kepimpinan tertinggi negeri.
Beliau berkata, pergolakan politik di Melaka tidak menjejaskan urusan pentadbiran negeri, malah semua sembilan anggota Exco negeri masih menjalankan tugasan masing-masing seperti biasa dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19 ketika ini.
Norhizam pernah menyandang jawatan Timbalan Pengerusi DAP Melaka sebelum dipecat selepas menyatakan sokongan kepada penubuhan kerajaan baharu pada Mac 2020.
Sumber – FMT