Terkulai disisi katil, leteran neneknya menyuruh mandi berakhir dengan tragedi menyayat hati
Seorang budak perempuan berusia 11 tahun ditemui mati tergantung pada besi katil di biliknya tidurnya selepas dipercayai tidak berpuas hati kerana disuruh mandi oleh neneknya di Taman Tupai Mas di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 7.52 malam semalam.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kanak-kanak itu dipercayai mengantung diri dalam bilik tidurnya kerana tidak berpuas hati dengan leteran neneknya yang menyuruh dia mandi.
“Mangsa menggunakan kain sari yang diikat pada besi katil dua tingkat untuk menggantung diri.
“Mangsa dibawa ke Hospital Taiping namun disahkan telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan temu bual dengan nenek mangsa, ibu bapa kanak-kanak itu telah bercerai dan dia dipelihara oleh neneknya.
Katanya, kanak-kanak itu dipercayai seorang yang hiperaktif dan suka mencuba sesuatu perkara berdasarkan pengamatannya.
“Keputusan bedah siasat mendapati punca kematian kanak-kanak itu disebabkan patah leher akibat gantung diri.
“Tiada unsur jenayah dalam kes ini dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut ” katanya.
Sumber – UTUSAN