Terlalu sibukkan kereta terbang sebabkan Malaysia ketinggalan, Ka Siong sindir Menteri Tugas-Tugas Khas

Terlalu sibukkan kereta terbang sebabkan Malaysia ketinggalan, Ka Siong sindir Menteri Tugas-Tugas Khas

Syarikat gergasi teknologi tidak memilih Malaysia dalam perancangannya untuk memasang kabel dasar laut bukan disebabkan dasar kabotaj negara, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

Beliau berkata, kabel dasar laut Echo dan Bifrost hanya melalui Singapura dan bukan Malaysia kerana Facebook telah membina pangkalan data di Tanjong Keling Data Center Park, Singapura pada 2019.

Kata beliau, projek kabel dasar laut sebelum itu, seperti kabel konsortium Asia Tenggara-Jepun 2 (SJC2) pada 2018, juga tidak melibatkan Malaysia

“Pusat data berada di Singapura, bukannya di Malaysia, kita kekurangan infrastruktur data,” kata beliau dalam kenyataan di Facebook hari ini.

“Misalnya pada tahun 2018-2019, Malaysia sibuk membazir masa dan duit untuk idea-idea lapuk seperti mahu membangunkan kereta terbang, bukannya pusat data dan revolusi industri 4.0.”

Wee berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah portal yang memetik kenyataan Malaysia Internet Exchange’s (MyIX) bertajuk “MyIX: Facebook’s new undersea cables to Singapore and Indonesia a huge loss for Malaysia due to cabotage issue” (MyIX: Kabel dasar laut baharu Facebook yang melalui Singapura dan Indonesia kerugian besar buat Malaysia disebabkan isu kabotaj), yang turut dikongsi bekas menteri pengangkutan Anthony Loke Siew Fook di media sosial.

Beliau berkata, susulan ketegangan hubungan Amerika Syarikat (AS) dengan China, syarikat AS juga ingin mengelak meletakkan kabel di Laut China Selatan kerana bimbang lalu lintas komunikasi negara itu mungkin terdedah kepada pemantauan Beijing.

Kata Wee, ini menyebabkan wujudnya trend meletakkan kabel melalui Lautan Pasifik sebagai ganti sejak 2018, dan ini tidak bersangkut paut dengan dasar kabotaj negara.

Kata beliau lagi, keputusan membatalkan pemberian pengecualian dasar kabotaj bagi kerja pembaikan kabel dibuat antaranya bagi mengurangkan aliran keluar wang asing dalam bentuk bayaran fret atau perjanjian penyewaan kapal dan insurans dalam “Balance of Payment Account” negara.

Langkah itu juga bertujuan mengurangkan kebergantungan negara kepada kapal asing dengan meningkatkan penyertaan syarikat perkapalan tempatan dalam perkhidmatan domestik serta meningkatkan kepakaran teknikal melalui pembangunan sumber manusia dalam kalangan warga tempatan.

Menurut kenyataan Wee di Facebook, Loke memberi pengecualian dasar kabotaj kepada kerja pembaikan kabel dasar laut berkuat kuasa 1 April 2019 sebelum pengecualian tersebut ditamatkan oleh Wee pada 15 Nov 2020.

Beliau turut menyatakan kesediaan beliau untuk mengatur pertemuan antara Loke dan penggiat industri perkapalan negara bagi mendengar sendiri mengenai dasar kabotaj yang diamalkan Kementerian Pengangkutan ketika ini. – FMT