Terngiang jeritan si anak memanggilnya, lelaki ini ceritakan detik pilu kejadian kebakaran sebabkan 2 anaknya terkorban

Terngiang jeritan si anak memanggilnya, lelaki ini ceritakan detik pilu kejadian kebakaran sebabkan 2 anaknya terkorban

Abah… abah. Itu jeritan terakhir dapat didengar seorang lelaki dalam insiden kebakaran sebuah rumah kedai yang mengorbankan dua anaknya di Bandar Seri Iskandar di sini pada Khamis.

Kejadian sekitar jam 4.30 pagi itu mengorbankan Muhammad Fahmi Mohd Fazlan Nizam, 6, dan adiknya, Nur Fahmia berusia enam bulan selepas terperangkap dalam sebuah bilik di rumah kedai terbabit.

Ketika kejadian, dua beradik terbabit sedang nyenyak tidur di bilik hadapan tingkat 2 bangunan, sementara ibu bapanya sedang bersahur di tingkat bawah.

Bapa mangsa, Mohd Fazlan Nizam Mohamed Hamidi, 37, berkata, sebaik menyedari kebakaran berlaku, dia segera naik ke tingkat atas untuk menyelamatkan dua anaknya itu.

Bagaimanapun katanya, usaha itu gagal kerana keadaan asap terlalu tebal memenuhi ruang bangunan itu.

“Waktu saya naik tangga, saya dengar jeritan anak sulung saya memanggil abah abah beberapa kali. Saya menyahut dengan harapan dia dapat bertahan sementara saya cuba membawa mereka keluar.

“Tetapi tak lama jeritan itu hilang, saya cuba masuk, tetapi tak berdaya kerana sesak nafas, tiga kali saya usaha, namun tidak juga berjaya.

“Beberapa orang juga cuba membantu memanjat papan tanda dan memecahkan cermin hadapan kedai dengan harapan dapat masuk ke bilik, namun tetap juga gagal menyebabkan kami pasrah dan hanya mampu menunggu bantuan daripada pihak bomba,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Changkat Melintang di sini pada Khamis.

Keadaan tingkat 2 yang musnah dalam kebakaran mengorbankan dua beradik di Bandar Seri Iskandar pada Khamis. (Gambar kecil: Muhammad Fahmi dan Nur Fahmia)
Dia yang mengusahakan restoran masakan tomyam bersama isteri, Mimi Doleng, 28, di tingkat bawah rumah kedai itu telah mendiami bilik berkenaan sejak hampir setahun lalu.

Dua lagi bilik di tingkat sama dijadikan penempatan lima pekerjanya.