Terpedaya tawaran Najib, penduduk Kg. Baru rayu campur tangan Ismail Sabri

Terpedaya tawaran Najib, penduduk Kg. Baru rayu campur tangan Ismail Sabri

Tidak puas hati dengan tindakan pemaju yang mengenakan Akta Pengambilan Tanah terhadap pemilik tanah kerana enggan bersetuju dengan tawaran yang diberikan, sekumpulan pemilik tanah Kampung Sungai Baru menggesa supaya Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob campur tangan untuk menarik semula arahan tersebut.

Menurut wakil penduduk di situ, Azlan Mustafa, 35, bilangan ‘majoriti’ penduduk yang bersetuju dan tidak bersetuju dengan tawaran yang diberikan adalah tidak relevan kerana kawasan yang terdiri daripada unit rumah pangsapuri (flat) dan rumah teres itu tidak boleh disamakan.

Menurutnya, kuantiti bagi kedua-dua unit itu perlu dikira menggunakan keluasan tanah, dan bukannya satu teres bersamaan dengan satu unit flat seperti yang diguna pakai oleh pemaju.

“Sejak 2016 sehingga 2020, pemaju berjaya mendapatkan persetujuan 192 pemilik rumah pangsapuri dan 27 pemilik teres, tetapi masih gagal mendapatkan persetujuan daripada 72 unit pangsapuri dan 71 pemilik teres.

“Maka pemaju memohon akta pengambilan tanah dikenakan kepada yang tidak bersetuju (72 unit pangsapuri dan 37 unit teres) atas alasan ‘majoriti’ sudah bersetuju dengan projek itu.

“Hasilnya warta Seksyen 4 diluluskan oleh kerajaan pada 18 Jun 2021 dan selang tiga hari kemudian, warta Seksyen 8 dikeluarkan pada 21 Jun 2021, ketika semua ini berlaku ketika darurat dan perintah kawalan pergerakan (PKP) sedang berlangsung,” katanya dalam satu sidang media di Jalan Sungai Baru, Kampung Baru di Kuala Lumpur, hari ini seperti dilaporkan portal Malaysiakini.

Sidang media yang dilakukan di kawasan perumahan itu turut dihadiri oleh penduduk yang terlibat.

Azlan menyifatkan proses kelulusan dari warta Seksyen 4 ke Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah (1960) untuk mengaburi mata orang ramai dan sekaligus menenggelamkan suara mereka.

Dia berkata pemaju telah memberi gambaran bahawa penduduk yang menolak pembangunan itu adalah mereka yang minoriti dan degil.

“Jadi ini adalah kenyataan yang salah dan yang degil itu sebenarnya adalah pemaju sebab kita dah tolak dia, dia tak nak ada penambahbaikan tawaran dan akhirnya kenakan akta kepada kita.

“Harapan saya adalah kita nak gesa warta ini dibatalkan,” katanya.

Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini ialah Annuar Musa yang kini merupakan Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Azlan menambaha bahawa dia mengharapkan supaya rundingan itu dapat berjalan dengan adil dan bukannya memaksa penduduk bersetuju kerana ia merupakan tanah milik mereka.

Status terkini

Status terkini bagi penduduk pangsapuri dan teres di situ adalah bagi penduduk flat, notis pemakluman bahawa tanah telah diambil milik (Borang K) diberikan kepada hampir kesemua penduduk beberapa hari sebelum menjelang Ramadan. Cek untuk pampasan penduduk sebanyaj RM198,000 ke RM350,000 (mengikut saiz unit) telah diberikan.

Namun, perkara yang menjadi kebimbangan mereka adalah untuk mencari rumah yang mempunyai kemudahan yang berdekatan seperti di Kampung Sungai Baru – hospital, tempat berniaga dan kemudahan awam lain.

Bagi penduduk teres pula, menurut Azlan, mereka masih menunggu perbicaraan kedua pada tarikh yang tidak dimaklumkan.

Katanya, Shahidan memberi jaminan akan mendapatkan jurunilai yang neutral untuk menilai semua hartanah mereka.

Pada masa sama, penduduk teres juga mencadangkan untuk melantik Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (Pertama) yang dianggotai ramai pakar penilai hartanah dari kalangan profesor universiti sebagai penilai bebas yang mereka percayai lebih neutral.

Untuk rekod, lokasi antara Kampung Sungai Baru dan bangunan ikonik negara, yang juga tarikan pelancong – Menara Berkembar Petronas adalah tidak kurang dari tiga kilometer.

Bekas menteri wilayah persekutuan Khalid Samad yang turut bersama dalam sidang media berkenaan berkata tidak masuk akal apabila kerajaan meminta penduduk mengosongkan rumah sebelum Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim berbincang dengan mereka.

“Ini kerana ia bukan tanah kerajaan. Mereka (penduduk) ada geran. Jangan keluarkan notis pengusiran dulu, runding dulu. Baru lancar dan adil,” katanya.

Ketika ditanya status terkini hasil pertemuan bersama Shahidan dan penduduk, Khalid berkata bahawa pihak kementerian akan menghantar penilai bebas, Rahim & Co untuk membuat penilaian dan akan menyelesaikannya dalam masa seminggu.

Pertemuan itu dibuat selepas Shahidan pada 11 April memberi jaminan tiada pengusiran penduduk Pangsapuri Sungai Baru pada bulan Ramadan ini.

Shahidan berkata rundingan dengan penduduk akan diteruskan bagi mencari titik penyelesaian berhubung kemelut itu.

Sebelum ini, bekas perdana menteri, Najib Razak mengingatkan rakyat supaya tidak terpedaya dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berhubung tawaran kerajaan untuk membeli tanah di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Memetik laporan FMT bertarikh 21 September 2021, Najib mempersoalkan nilai tawaran itu dengan harga tanah di Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) yang mencecah RM3,000 satu kaki persegi berbanding harga paling tinggi yang ditawarkan oleh kerajaan.