Terperdaya dengan umpan vape perisa baharu, 3 remaja perempuan dirogol secara berkumpulan

Terperdaya dengan umpan vape perisa baharu, 3 remaja perempuan dirogol secara berkumpulan

Tiga remaja perempuan masing-masing berusia 13 tahun mendakwa mereka telah dirogol empat lelaki selepas terperdaya dengan umpan vape dalam kejadian di Kampung Air, Kota Kinabalu, Sabah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya pada 27 April lalu menerima laporan daripada salah seorang mangsa yang mendakwa dia menjadi mangsa rogol sekumpulan lelaki terbabit di sebuah rumah tumpangan.

Siasatan mendapati, kejadian itu juga membabitkan dua rakannya serta empat lelaki tidak dikenali dan juga seorang perempuan.

“Dalam kejadian itu, suspek empat lelaki dan seorang perempuan terbabit menegur ketiga-tiga mangsa semasa berada di sebuah pusat beli-belah sebelum memujuk mereka melepak di rumah tumpangan.

“Semasa berada di rumah tumpangan itu, mereka diumpan menghisap vape berperisa baharu sebelum tidak sedarkan diri.

“Apabila kesemua mangsa tersedar pada tengah malam, mereka berada dalam keadaan tidak berpakaian, manakala lima suspek terbabit telah menghilangkan diri.

“Ketiga-tiga mangsa mengesyaki mereka telah dirogol dan membuat laporan polis,” katanya.

Bertindak di atas maklumat itu, polis telah berjaya mengesan dan menangkap kesemua suspek berusia 13 hingga 17 tahun pada hari yang sama di sekitar bandar ini di Telipok, Tuaran.

Kesemua suspek direman sehingga 5 Mei untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 372 (1)(a) Kanun Keseksaan dan Seksyen 375 (B) Kanun Keseksaan.