Tersebar gambar naik ‘buggy’ dengan Mat Sabu di India, Saravanan nafi ikut rombongan menteri cari telur

Tersebar gambar naik ‘buggy’ dengan Mat Sabu di India, Saravanan nafi ikut rombongan menteri cari telur

 

Datuk Seri M Saravanan menafikan dakwaan bahawa beliau menyertai rombongan Mohamad Sabu ke India untuk menemui pembekal telur ayam.

Saravanan yang juga Timbalan Presiden MIC berkata, tujuannya ke negara republik itu adalah untuk mengikuti upacara sembahyang.

Beliau berkata demikian setelah gambarnya bersama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu disebarkan oleh sebuah blog.

Namun begitu, Saravanan mengakui beliau menuju ke India dengan menaiki kapal terbang yang sama dengan menteri itu.

Secara kebetulan, Saravanan turut menumpang ‘buggy’ menteri yang lebih mesra dikenali sebagai Mat Sabu itu selepas mendarat di Chennai.

“Mereka mempunyai kereta buggy yang terhad. Selepas mendarat, kami semua perlu berkongsi kenderaan yang sama kerana laluan pejalan kaki agak jauh.

“Saya pergi (ke India) untuk ikuti upacara, saya tidak tahu mereka pergi untuk beberapa urusan rasmi. Ia hanya kebetulan, itu sahaja,” katanya.

Menurut Saravanan, perjalanan tersebut berlaku pada bulan Januari.

Gambar tersebut tular berikutan turut memaparkan wajah ahli perniagaan kontroversi, Deepak Jaikishan yang dikatakan menerima projek mengimport telur.

Namun begitu, semakan menerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati nama Deepak tiada di dalam syarikat pengimport tunggal telur dari India itu.

Dakwaan tidak berasas mengenai penganugerahan projek itu dibuat oleh pemimpin Bersatu, Azmin Ali.