Teruja dapat minum Milo Malaysia, netizen Indonesia terkejut rasanya lebih pekat dan segar
Sebelum ini ada yang memberitahu penulis bahawa Milo dari Thailand lebih kaw dan pekat. Tidak hairanlah ada yang bawa pulang ‘ole-ole’ Milo dari wilayah itu.
Namun tidak disangka rupa-rupanya Milo di Indonesia juga agak berbeza dari segi rasa dan warna.
Ini dibuktikan melalui perkongsian seorang pemuda dari Indonesia yang membuat perbandingan Milo dari negaranya dengan Malaysia.
Menerusi video yang dimuat naik pengguna TikTok Kesatria Biji Hitam, dia katanya selalu mendengar dari mulut orang bahawa air Milo di kedua-dua negara itu adalah berbeza.
Berikutan itu, dia mengambil keputusan untuk mengetahui sendiri rasa air ini.
Maklum pemilik video itu, dia telah membeli Milo dari negaranya di sebuah kedai terdekat. Manakala Milo dari Malaysia diperolehi daripada rakannya.
“Saya terus beli Milo sachet (Indonesia) sebanyak 22 gram di kedai berhampiran. Manakala ini pula, Milo dari Malaysia 200 gram.
“Kedua-dua Milo ini adalah jenis yang sama dan bukan jenis 3 dalam 1,” katanya.
Bagi membuat perbandingan, dia telah memasukkan Milo dari Indonesia (22g) ke dalam satu gelas. Langkah yang sama dilakukan dengan menggunakan Milo dari Malaysia.
Setelah selesai, dia mendapati terdapat perbezaan yang jelas selepas melihat kedua-dua serbuk Milo itu sebelum memasukkan air panas dengan kuatiti yang sama.
“Memang betul, dari segi luaran juga sudah ada perbezaan. Milo yang Malaysia lebih gelap dan yang Indonesia lebih cerah,” jelasnya.
Menurut pandangan peribadinya, Milo dari Indonesia lebih ke arah berkrim (creamy) dan manis.
Yang paling ketara adalah rasa coklatnya yang tidak terlalu kuat.
Sementara itu, Milo dari Malaysia pula lebih terasa coklatnya dan lebih segar diminum bersama ais.
Dia juga mengakui lebih menyukai minuman berperisa coklat dari Malaysia.