Tesla buang lebih 10 peratus pekerja di seluruh dunia kerana jualan menurun & perang harga EV

Tesla buang lebih 10 peratus pekerja di seluruh dunia kerana jualan menurun & perang harga EV

 

Reuters melaporkan bahawa Tesla bakal mengurangkan lebih dari 10% tenaga kerjanya di seluruh dunia akibat jualan kenderaannya yang kini menurun dan juga disebabkan perang harga yang sedang berlangsung dalam kalangan pengeluar-pengeluar EV.

Manakala dalam laporan New York Times, pengurangan tenaga kerja berkenaan akan menjejaskan sekitar 14,000 orang, termasuk dua eksekutif kanan syarikat tersebut iaitu ketua pembangunan bateri Drew Baglino dan naib presiden untuk polisi awam Rohan Patel yang sudah pun meninggalkan syarikat.

Tiada sebarang kenyataan rasmi dibuat berkenaan perkara ini, namun ia terdedah menerusi email dalaman syarikat yang bocor dan dilaporkan oleh Electrek.

“Selama bertahun-tahun, kita telah berkembang pesat dengan banyak kilang berkembang di seluruh dunia. Dengan pertumbuhan pesat ini berlaku pertindihan peranan dan fungsi pekerjaan dalam bidang tertentu. Dalam menyediakan syarikat untuk fasa pertumbuhan kami yang seterusnya, adalah sangat penting untuk melihat setiap aspek syarikat untuk pengurangan kos dan meningkatkan produktiviti,” kata CEO Tesla, Elon Musk dalam email tersebut.

“Sebagai sebahagian daripada usaha ini, kami telah melakukan semakan menyeluruh terhadap organisasi dan membuat keputusan sukar untuk mengurangkan bilangan pekerja kami lebih daripada 10% di seluruh dunia. Tiada apa yang lebih saya benci, tetapi ia mesti dilakukan. Ini akan membolehkan kita menjadi lebih ringan, inovatif dan lapar untuk kitaran fasa pertumbuhan seterusnya,” tambahnya.

Pada suku pertama 2024, Tesla tidak berjaya mencapai sasaran anggaran penghantaran dan merekodkan penurunan jualan tahun ke tahun yang jarang berlaku sebanyak 8.5% (berbanding suku pertama 2023) dengan jualan sebanyak 386,810 unit.

Ini mewakili penurunan tahun ke tahun pertama syarikat itu dalam jualannya sejak 2020 ketika operasinya terjejas oleh pandemik Covid-19.

Walaupun Tesla tidak memberikan pecahan penghantaran mengikut wilayah, diandaikan bahawa penurunan sebahagian besarnya berlaku di China, di mana pembuat EV China semakin mendapat tempat dan berusaha untuk mengembangkan pasaran eksportnya.

Tesla juga dilaporkan telah membatalkan rancangan untuk membangunkan EV kos rendah yang dijangka dijual bermula pada sekitar USD25,000 (kira-kira RM120k) kerana persaingan sengit daripada pembuat kereta China yang boleh menawarkan EV pada harga yang lebih rendah.