Tewas 0-4, Harimau Malaya pamer aksi lemau bertemu UAE

Skuad Harimau Malaya tewas 4-0 kepada Emiriah Arab Saudi (UAE) dalam perlawanan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 20238 yang berlangsung di Stadium Zabeel, Dubai, awal pagi tadi.
UAE memperoleh gol awal menerusi jaringan mudah dilakukan oleh penyerang berbisanya Ali Ahmed Mabkhout seawal minit ke-19.
Gol UAE terhasil akibat pertahanan Malaysia yang dipimpin oleh Aidil Zafuan Abdul Radzak membiarkan Ali Ahmed memasuki kawasan penalti sebelum menguis bola melepasi kepala penjaga gol Farizal Marlias dan menerjah jaring.
Bagaimanapun, pujian patut diberikan kepada Farizal kerana berjaya menyelamatkan gawang Malaysia daripada terus dibolosi serangan pihak lawan terutama Ali Ahmed dan rakan sepasukan lain sehingga tamat separuh masa pertama yang berkesudahan UAE mendahului Malaysia 1-0.
Pasukan UAE yang dibimbing jurulatih Jorge Luis Pinto dari Colombia menguasai 69% pada separuh masa pertama, manakala anak buah Tan Cheng Hoe, hanya menguasai 31%.
Malah, tonggak tengah skuad Harimau Malaya yang gandingan pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi bersama Azam Azih dan Syamer Kutty Abba dilihat gagal melakukan hantaran cantik kepada penyerang pasukan kebangsaan.
Cheng Hoe membuat keputusan drastik pada separuh masa kedua dengan mengeluarkan Aidil Zafuan dan menggantikannya dengan pemain naturalisasi, Junior Eldstal bagi memantapkan barisan pertahanan.
Bagaimanapun, kealpaan dan kerapuhan barisan pertahanan menyebabkan Malaysia sekali lagi dihukum kali ini oleh pemain naturalisasi UAE dari Brazil iaitu Fabio Lima pada minit ke-82.
Tidak cukup dengan itu, Ali Ahmed menambah derita anak buah Cheng Hoe apabila menjaringkan gol keduanya pada minit ke-91 kerana kesilapan pertahanan dan Farizal sendiri.
Skuad Harimau Malaya yang seolah-olah sudah patah semangat untuk melawan sekali dihukum oleh UAE menerusi jaringan kedua Fabio Lima, pada minit ke-93 sekali gus menjadikan keputusan akhir perlawanan 4-0.
Keputusan berkenaan menyebabkan peluang Malaysia untuk layak ke pusingan seterusnya Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 semakin samar.
Dengan kekalahan berkenaan sekali lagi menyaksikan Malaysia gagal melunaskan dendam lama sebelum ini selepas ditewaskan 10-0 kepada UAE pada Sept 2015.
Untuk rekod Malaysia dijangka bertemu Vietnam pada Sabtu ini, diikuti Thailand pada 16 Jun nanti dengan skuad Harimau Malaya perlu menang kedua-dua perlawanan untuk layak ke pusingan seterusnya.