Tewas undi percaya di parlimen, nasib Netanyahu hantui Muhyiddin

Tewas undi percaya di parlimen, nasib Netanyahu hantui Muhyiddin

Selepas 12 tahun, akhirnya Benjamin Netanyahu berundur daripada jawatan perdana menteri Israel setelah kalah kepada Naftali Bennett dalam undi percaya di parlimen.

Menurut Reuters, dalam undi yang diadakan Ahad itu, Netanyahu, 71, tewas tipis 59-60 kepada Bennett, 49, sekali gus memaksa perdana menteri paling lama dalam sejarah Israel itu untuk mengundur diri.

Bennet akan memegang jawatan perdana menteri Israel sehingga 2023 sebelum digantikan dengan Yair Lapid, 57, selama dua tahun, di bawah perjanjian gabungan mereka.

Kerajaan baru Israel dilaporkan akan memberi tumpuan terhadap pembaharuan domestik, berbanding isu-isu sensitif di peringkat antarabangsa, seperti dasar terhadap warga Palestin.

Menurut laporan Reuters juga, warga Palestin juga menjangkakan Bennet – yang pernah menjadi menteri pertahanan bawah pentadbiran terdahulu – meneruskan agenda berhaluan kanan seperti Netanyahu.

Kedua-dua parti Netanyahu (Likud) dan Bennet (Yamina) adalah berhaluan kanan.

Bagaimanapun, Netanyahu, memberi bayangan yang dia akan kembali tidak lama lagi.

“Kalau kami ditakdirkan menjadi pembangkang, kami akan menjadi (pembangkang) dengan bermaruah, sehingga kami mengalahkan (kerajaan),” katanya seperti dipetik Reuters sebelum Bennet mengangkat sumpah.

Netanyahu menjadi perdana menteri paling lama di Israel, dari 2009 sehingga semalam, selepas sebelum terdahulu pernah menjadi perdana menteri buat pertama kali dari 1996-1999.

Dia merupakan individu termuda yang menjadi perdana menteri Israel pada usia 47 tahun pada 1996.

Dia terkenal dengan pendiriannya menentang pengiktirafan negara Palestin dengan menyifatkannya sebagai ancaman buat keselamatan Israel.

Sumber: https://m.malaysiakini.com/news/578839