Tewaskan juara dunia, Zii Jia tutup mulut pengkritik

Tewaskan juara dunia, Zii Jia tutup mulut pengkritik

Malaysia mencerahkan peluang untuk mara ke separuh akhir selepas mengetepikan Singapura 5-0 dalam saingan lelaki Kumpulan B pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City dekat sini, sebentar tadi.

Menurut laporan Utusan Online, skuad kebangsaan yang menurunkan barisan terkuat menentang pasukan dari negara jiran itu mempertaruhkan Lee Zii Jia sebagai perseorangan pertama Malaysia.

Aksi pembukaan yang melibatkan pertembungan antara pemenang All England itu dan juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew seperti diramal menjadi tumpuan peminat badminton tanah air.

Bermain di laman sendiri ternyata memberi suntikan semangat tambahan buat Zii Jia menang straight set 21-6, 21-14 ke atas Kean Yew dalam perlawanan yang mengambil masa selama 30 minit.

Selepas itu, beregu utama Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik juga tidak berdepan sebarang masalah untuk menang ke atas Danny Bawa Chrisnanta-Wesley Koh 21-14, 21-12 bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Ng Tze Yong yang menggalas cabaran sebagai perseorangan kedua membuat penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan cemas seketika apabila pemain No. 47 dunia itu diberi tentangan sengit oleh pemain Singapura, Jason Teh sebelum menang 17-21, 24-22, 21-19.

Pertemuan yang memakan masa selama 1 jam 18 minit itu akhirnya menghadiahkan mata kemenangan 3-0 buat skuad kebangsaan.

Walaupun kemenangan telah menjadi milik mutlak Malaysia, beregu kedua negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani tetap mahu menjadi penyumbang mata apabila mereka menang 21-10, 21-13 ke atas Terry Hee-Andy Kwek.

Mendahului selesa 4-0, Leong Jun Hao yang turun beraksi sebagai perseorangan terakhir melengkapkan kemenangan bergaya Malaysia 5-0 apabila dia menewaskan Joel Koh 21-17, 22-20.

Sementara itu, Tze Yong ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berkata, dia tidak berpuas hati dengan persembahannya, hari ini.

“Saya hanya sempat membuat persediaan selama seminggu, keadaan fizikal saya tidak berapa bagus,” katanya.

Selepas tewas set pertama, Tze Yong berkata, dia berusaha keras untuk bangkit dan enggan mudah menyerah kalah.

Pemain berusia 22 tahun itu berharap, untuk perlawanan kedua menentang Kazakhstan, esok prestasinya akan dapat dipertingkatkan berbanding aksinya, hari ini.