Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba Pas kata tiada gerakan nak gulingkan kerajaan Perak

Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba Pas kata tiada gerakan nak gulingkan kerajaan Perak

 

PAS Perak nafi menggerakkan usaha menumbangkan Kerajaan Perpaduan negeri ini bagi membolehkan pilihan raya negeri (PRN) serentak dengan Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang, tidak lama lagi.

Pesuruhjayanya, Razman Zakaria, berkata pihaknya berpandangan kerajaan negeri gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) Perak boleh tumbang dengan sendiri kerana ia tertubuh atas apa yang disifatkannya sebagai ‘kahwin paksa’.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, berkata keadaan itu boleh mencetuskan rasa tidak puas hati segelintir pihak dalam blok kerajaan negeri sekarang tanpa perlu ada hubung kait dengan mana-mana gerakan mengguling.

“Kita (PAS) nampak kesan ini sebab sudah pasti dia (kerajaan negeri) tidak boleh puaskan hati semua ADUN mereka. Contoh, tak boleh bagi jawatan EXCO kepada semua memandangkan jawatan-jawatan itu terhad.

“Kalau itu jadi natijah kepada wakil rakyat atau ADUN mereka (blok kerajaan negeri), maka rasa tidak puas hati mungkin dalam bentuk mengugut pimpinan mereka. Kalau memang benar berlaku, kita tunggulah,” katanya, memetik Berita Harian.

Ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Perak di Lawin, di sini hari ini, beliau yang juga Ketua Pembangkang DUN Perak, berkata atas sebab itu, PAS melihat kerajaan negeri boleh tumbang sebelum tempoh matang.

“Kita tiada usaha ke arah itu (menumbangkan kerajaan negeri), tapi apa yang kita tahu seperti mana yang dikatakan kahwin paksa, iaitu bila kahwin paksa, boleh bercerai pada bila-bila masa.

“Perjuangan mereka (PH dan BN) tak sama dan kita nampak tuntutan-tuntutan daripada DAP tidak boleh dipenuhi oleh UMNO-BN,” katanya.

Razman ditanya dakwaan ada usaha menggulingkan kerajaan Perak dengan desas-desus tiga ADUN dari UMNO serta seorang daripada DAP merancang meletak jawatan, sekali gus menyebabkan PH-BN hilang majoriti dalam DUN dan terpaksa mengadakan semula PRN.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November lalu, kerajaan Perak ditubuhkan dengan gabungan 24 ADUN daripada PH bersama sembilan ADUN BN yang membentuk majoriti 33 kerusi DUN.

DUN Perak mempunyai 59 kerusi DUN, memerlukan sekurang-kurangnya 30 kerusi untuk mana-mana parti politik meraih majoriti mudah. Perikatan Nasional (PN) yang PAS sebagai parti komponennya menang 26 kerusi DUN pada PRU15 lalu.