Tiada bukti Zahid Md Arip aniaya Isa Samad – Hakim

Tiada bukti Zahid Md Arip aniaya Isa Samad – Hakim

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa tiada bukti yang menunjukkan Muhammad Zahid Md Arip, bekas pegawai khas politik kepada Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, berkomplot dengan individu lain untuk berkongsi wang suapan RM3 juta dan menganiaya bekas Pengerusi Felda itu.

Individu lain yang dimaksudkan ialah saksi pendakwaan ke-15 (SP15) iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) Mohd Zaid Abdul Jalil, bekas Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) Ikhwan Zaidel (SP16) serta Pemegang Saham dan Pengarah JV Evolution Sdn Bhd (JVESB) Azizi Abdul Wahab (SP17).

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, dalam penghakiman ringkas, berkata tiada keterangan menunjukkan Muhammad Zahid, yang merupakan saksi pendakwaan ke-21 (SP21) dan berkhidmat dengan Mohd Isa, mempunyai motif untuk menyalah guna kedudukan tertuduh bagi meminta suapan daripada Ikhwan untuk dirinya sendiri.

“Tambahan pula, apakah keperluan untuk SP16 menyerahkan lebih RM3 juta kepada SP21 yang hanya merupakan pegawai khas tertuduh dan tidak mempunyai sebarang kuasa dalam proses pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) daripada GAPSB oleh FICSB, termasuk dalam aspek rundingan, kelulusan dan pembayaran.

“Tiada sebab munasabah untuk SP17 dan SP16 sebagai ahli perniagaan yang beroleh manfaat daripada persetujuan dan kelulusan FICSB atas pembelian MPHS daripada GAPSB, untuk merancang menipu dan menganiaya tertuduh.

“Tambahan pula, sumber wang suapan itu adalah daripada bayaran pembelian MPHS oleh FICSB kepada GAPSB yang telah membolehkan SP16 membayar komisen kepada JVESB seperti yang dijanjikan berdasarkan peranan JVESB sebagai agen,” katanya.

Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dan denda berjumlah RM15.45 juta atau penjara 18 tahun ke atas Mohd Isa selepas mensabitkan beliau dengan sembilan pertuduhan menerima rasuah RM3 juta berhubung pembelian MPHS bernilai RM160 juta di Kuching, Sarawak oleh FICSB.

 

Beliau berkata mahkamah mendapati naratif yang dibangkitkan pihak pembelaan bahawa wang suapan itu dikeluarkan atas rancangan konspirasi SP15, SP17, SP16 dan SP21 untuk keperluan dana politik yang sebenarnya diseleweng oleh mereka yang berkomplot berkongsi habuan wang komisen hasil penjualan MPHS dan menjadikan tertuduh sebagai mangsa, langsung tidak mempunyai merit.

“Mahkamah tidak terima teori ini. Tiada keterangan termasuk oleh saksi pembelaan yang membayangkan perkara ini sebenarnya telah berlaku,” katanya sambil menambah Mohd Isa dalam keterangan lisan menimbulkan perkara baharu iaitu Muhammad Zahid telah mengaku bahawa beliau ada membabitkan tertuduh.

“Menurut tertuduh, pengakuan ini berlaku bukan sekali tapi dua kali. Jelas kepada mahkamah, perkara-perkara ini langsung tidak disoal kepada SP21 di peringkat pendakwaan. Tiada soalan diajukan kepada SP21 bahawa SP21 tertekan disebabkan keadaan beliau teruk dan tidak tahan ketika direman di bangunan lama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikatakan berhantu.

“Lebih penting lagi, pihak pembelaan tidak langsung menyoal balas SP21 bahawa dia telah mengaku kepada tertuduh pada 28 Jan 2018 ketika beliau menziarahi kematian bapa saudara SP21 di mana SP21 meminta maaf kepada tertuduh kerana dikatakan terpaksa membabitkan tertuduh dan berjanji akan membetulkan penyataan yang diberikan kepada SPRM,” katanya.

Mohd Nazlan juga berkata tiada langsung soalan kepada Muhammad Zahid mengenai perjumpaan kali kedua di bangunan SPRM di mana tertuduh mendakwa telah mengingatkan SP21 supaya membetulkan kenyataannya sebelum perkara itu dibawa ke mahkamah dan Muhammad Zahid dikatakan berjanji akan berbuat demikian.

 

“Perlu juga diambil kira bahawa tertuduh tidak pernah menyoal balas SP21 bahawa perbualan di SPRM tersebut telah didengar oleh peguam bernama Bakar dan isteri tertuduh sendiri namun tertuduh tidak memanggil mereka sebagai saksi pembelaan untuk menyokong keterangan tertuduh,” katanya sambil menambah Mohd Isa tidak pula pada bila-bila masa melaporkan pengakuan SP21 itu kepada pegawai penyiasat SPRM.

Beliau berkata perkara itu memang ganjil kerana tertuduh direman lapan hari dalam bulan Ogos 2017 dan disiasat oleh SPRM manakala dua perjumpaan dengan SP21 berlaku pada 2018 iaitu sebelum Mohd Isa didakwa namun maklumat tersebut, yang mungkin boleh membantu dirinya, tidak langsung didedahkan kepada SPRM.

“Ini amat sukar untuk difahami dan lebih lagi dipercayai kerana perjumpaan kedua dikatakan berlangsung di SPRM sendiri dan pengakuan oleh SP21 dikatakan didengar oleh seorang peguam tertuduh sendiri. Alasan tertuduh tidak tahu beliau boleh memaklumkan kepada pegawai penyiasat SPRM mengenai apa yang diberitahu oleh SP21 kepada beliau dan beliau tiada peluang untuk melakukannya adalah teramat lemah, tidak munasabah dan tidak boleh diterima langsung,” kata hakim itu.

Mohd Nazlan berkata dakwaan tertuduh mengenai dua pertemuan di mana Muhammad Zahid dikatakan mengaku kepada tertuduh adalah perincian khusus yang amat penting dan sepatutnya dibangkitkan dan disoal kepada Muhammad Zahid di peringkat pendakwaan.

“Oleh itu, pembelaan tertuduh adalah sesuatu yang difikirkan kemudian dan rekaan baharu semata-mata.

“Setelah meneliti semua keterangan ini, mahkamah dapati tiada justifikasi untuk tidak mempercayai keterangan SP21 yang naratifnya mahkamah dapati konsisten dan selari dengan bukan sahaja keterangan saksi lain tetapi juga keseluruhan keadaan dan situasi kes ini,” katanya.

 

Beliau juga berkata penglibatan Mohd Isa dalam meminta suapan dengan memberitahu Muhammad Zahid untuk menerima apa-apa yang mungkin diberikan Ikhwan dilakukan sejurus selepas kelulusan pembelian MPHS dan lawatan terima kasih oleh ahli perniagaan itu serta ALP GAPS Ibrahim Baki.

“Permintaan kemudiannya diaktifkan dengan kiriman ‘salam’ tertuduh kepada Ikhwan melalui Muhammad Zahid. Kali pertama, ia berlaku sejurus perjanjian jual beli MPHS ditandatangani dan selepas tertuduh menandatangani arahan pembayaran RM160 juta atau 10 peratus harga belian MPHS kepada GAPSB.

“Ini diikuti dengan aturan kiriman ‘salam’ yang serupa untuk lapan permintaan yang berikutnya. Kecuali perkara yang berkaitan dengan tarikh kejadian dan jumlah wang yang terlibat, dalam setiap sembilan situasi, tertuduh memberi isyarat kepada Muhammad Zahid untuk menyampaikan ‘salam’ tertuduh kepada Ikhwan,” katanya.

Mohd Nazlan juga berkata pengeluaran wang oleh JVESB adalah bersumberkan bayaran komisen yang dijanjikan serta dibayar oleh GAPSB kepada JVESB bagi pembelian MPHS.

Katanya dalam setiap situasi, Muhammad Zahid menyerahkan wang itu kepada Mohd Isa ketika saksi itu berjumpa tertuduh di pejabat Pengerusi Felda.

“Semua ini mahkamah dapati tidak berjaya disangkal oleh mana-mana keterangan saksi pembelaan,” katanya.

Beliau berkata Muhammad Zahid sendiri menyatakan tentang kerahsiaan perkara ini dan tiada sesiapa pun yang tahu mengenai penyerahan wang kepada tertuduh malah Mohd Isa sendiri bersetuju ketika disoal balas bahawa adalah tidak munasabah SP21 membawa wang untuk diserahkan ketika ada kakitangan berhampiran pejabatnya.

“Keterangan bekas Setiausaha Zuraida Ariffin@Shaari dan bekas Pegawai Khas Kamar Bashah Shariff pula tidak membantu pembelaan tertuduh manakala keterangan Muhammad Zahid disokong juga oleh keterangan pemberi wang suapan sendiri iaitu Ikhwan yang jelas menyatakan tujuan penyerahan kepada Muhammad Zahid adalah untuk diberikan kepada tertuduh.

“Tiada juga keraguan tentang sumber wang tunai tersebut, yang merupakan wang Ikhwan sendiri bagi tuduhan rasuah yang pertama dan pengeluaran wang tunai di Maybank Cawangan Jelapang oleh Azizi yang juga disaksikan oleh Pengurus Maybank Cawangan Jelapang Yahya Mansur berkenaan dengan lapan pertuduhan rasuah yang lain,” katanya.

Mohd Nazlan berkata setelah menilai keseluruhan keterangan dan bukti dalam perbicaraan, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal mematahkan anggapan di bawah Seksyen 50 Akta SPRM di atas imbangan kebarangkalian bahawa penerimaan wang suapan oleh tertuduh seperti dalam sembilan pertuduhan adalah dilakukan secara rasuah sebagai upah bagi membantu meluluskan pembelian MPHS.

Beliau berkata pembelaan Mohd Isa bersifat pemikiran terkemudian, tidak konsisten serta sekadar penafian tanpa sokongan berasas atau boleh dipercayai dan oleh itu, mahkamah mendapati pembelaan tertuduh dalam konteks keseluruhan keterangan kes gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah.

“Pihak pendakwaan dengan itu telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dalam semua sembilan pertuduhan penerimaan suapan terhadap tertuduh. Oleh yang demikian, tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan kesemua sembilan pertuduhan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM,” katanya. – MK