Tiada jaminan Hasni mampu sekat Rafizi, akar umbi mahu MB terajui UMNO Johor

Tiada jaminan Hasni mampu sekat Rafizi, akar umbi mahu MB terajui UMNO Johor

Lantikan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor membuktikan pembangkang cukup bersemangat untuk menawan negeri ini selepas mereka kecundang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu.

Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, tidak mustahil lantikan dibuat PKR pusat itu bertujuan meletakkan Rafizi bertanding mana-mana kerusi Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

Tegasnya, UMNO Johor sentiasa bersedia dan tidak pernah gentar dengan apa juga taktik pembangkang yang dilihat meletakkan nama besar pimpinan mereka di negeri ini sebagai persediaan berdepan PRU15.

“Johor negeri yang penting, sudah tentu bukan sahaja PKR tetapi juga parti lain di dalam Pakatan Harapan (PN) dan Perikatan Nasional (PN) juga berminat untuk uji kekuatan mereka.

“Oleh itu, kehadiran nama besar pimpinan parti politik ke negeri ini amat dialu-alukan. Bukan sahaja Rafizi tetapi mana-mana pemimpin pembangkang yang ingin menguji kekuatan mereka, UMNO Johor sedia menyambutnya dan tidak gentar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan bola keranjang merebut piala Datuk Hasni, di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tah Tong pada malam Ahad.

Pada 4 Ogos lalu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan Rafizi Ramli sebagai Pengerusi MPN bagi Wilayah Persekutuan dan Johor.

Anwar berkata, lantikan tersebut dapat memantapkan gerak kerja PKR mendepani PRU15 kelak.

Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan, telah memenangi jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan PKR baru-baru ini, apabila menewaskan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Dalam pada itu, Hasni yang juga Pengerusi BN Johor menambah selain Rafizi, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Bahru merangkap ADUN Perling, Liew Ching Tong turut dijangka bertanding kerusi Parlimen pada PRU15 bagi menguji pengaruhnya.

 

“Selain Chin Tong yang juga Ketua Pembangkang Johor, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga akan bertanding di negeri ini pada PRU15. Ini jelas apabila Ahli Parlimen Pagoh itu menarik balik hasrat untuk bersara.

“Pastinya ini gambaran jelas menunjukkan pemimpin pembangkang sentiasa teruja dan berminat untuk menawan Johor biarpun pembangkang telah gagal melakukannya pada PRN Johor Mac lalu.

“Dalam masa yang sama, sekiranya mereka berjaya menguasai kawasan Parlimen di Johor pastinya ia akan memberi kepuasan kerana telah dapat menawan negeri yang maju di selatan tanah air,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai persiapan berdepan PRU15, bekas Menteri Besar itu berkata, kesiapsiagaan UMNO dan BN Johor berada pada tahap yang tinggi lebih-lebih lagi selepas menenangi PRN Johor.

“Gerak kerja pilihan raya masih lagi teratur dan kemas di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang boleh digerakkan pada bila-bila masa apabila Parlimen dibubarkan.

“Cuma jentera kini sibuk mengumpulkan data khususnya pengundi baharu dan pengundi 18 tahun ke atas yang sentiasa bertambah,” katanya.