Tiada ‘kawtim’, Ismail Sabri jawab desakan netizen isu keengganan AG dakwa Neelofa dan kayangan JDT langgar SOP
“Tak timbul isu ‘kawtim’ kerana kalau ada perlanggaran prosedur operasi standard (SOP), kerajaan akan ambil tindakan,” kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri memberi jawapan itu ketika diminta mengulas dakwaan ada kilang tertentu yang tidak ditutup kerana wujudnya amalan kawtim.
“Saya pernah sebutkan sebelum ini mengenai lebih 70 kilang ditutup akibat perlanggaran SOP.
“Sekiranya didapati ada kawasan berisiko hasil penilaian risiko Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pasti akan diarahkan tutup serta merta tidak kira kilang atau pusat beli belah sekalipun.
“Kerajaan memang akan ambil tindakan terhadap perlanggaran SOP,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media secara maya selepas mengadakan lawatan kerja ke kilang berteknologi tinggi Pharmaniaga, di sini, hari ini.
Lawatan itu bertujuan mengetahui perkembangan terkini dan proses pengilangan, isian dan sempurnakan (fill & finish) vaksin Covid-19 Sinovac.
Hadir sama, Pengarah Urusan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope.
Semalam, Ismail Sabri mengadakan sidang bagi memaklumkan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang diperketatkan.
Sidang media itu dilakukan bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
SOP terbaru itu membabitkan perubahan waktu operasi perniagaan termasuk di pusat beli-belah dan kedai makan yang dihadkan dari jam 8 pagi hingga 8 malam berkuat kuasa 25 Mei ini di seluruh Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan. – HM