“Tiada lagi peluang buat Pahamin Rajab bangga..” – Kasih Iris Leona luah rasa sedih datuk dah ‘pergi’ buat selama-lamanya
Awal pagi tadi, pelakon Azhar Sulaiman menyampaikan khabar duka mengenai pemergian bapa mentuanya, Datuk Pahamin Rajab ke ‘negeri abadi’ akibat serangan jantung.
Kena serangan jantung dalam pesawat
Khabar duka itu dikongsinya menerusi sebuah hantaran di platform Instagram dan difahamkan Pahamin, 77, meninggal dunia akibat serangan jantung sewaktu dalam penerbangan ke London, United Kingdom (UK), pada pukul 11.30 malam.
Pahamin yang juga bekas Pengerusi dan pengasas bersama AirAsia Berhad pergi ke London untuk menghadiri majlis graduasi cucunya yang juga anak lelaki Azhar Sulaiman iaitu Andika Rees Pahamin.
“Dukacita saya maklumkan bapa mentua saya, Datuk Pahamin Rajab baru meninggal dunia. Beliau baru sampai London kena serangan jantung dalam pesawat. Sekarang ibu mentua dan anak lelaki saya, Rees ada di London,” katanya.
Leona sedih, Tok Pok dah tiada…
Sementara itu, anak perempuan Azhar yang juga pempengaruh media sosial iaitu Kasih Iris Leona meluahkan rasa sedih dan seakan tidak percaya apabila datuk kesayangan kini sudah tiada lagi.
Leona dalam hantaran berkata, tiada lagi insan untuk dia bertanya sama ada sudah berbangga atau tidak dengan pencapaian yang dicapainya kini. Pun begitu, Leona bersyukur dan berterima kasih atas segala kasih sayang dicurahkan oleh datuknya.
“Seakan tidak percaya datuk sudah tiada di sini, saya tidak tahu mahu menggambarkan perasaan ini. Terima kasih kerana memberi saya kehidupan yang baik dan sentiasa percayakan saya.
“Sepanjang hidup saya, saya hanya mahu membuatkan datuk gembira dan kini kamu sudah tiada lagi. Saya tidak akan mempunyai peluang untuk bertanya “Adakah anda bangga dengan saya?”
“Saya berasa sedih kerana masa kita berdua di dunia ini telah berakhir. Saya harap saya boleh ucap ‘selamat tinggal’ dan memberikan datuk pelukan terakhir. Saya tidak boleh memutarkan masa tetapi saya akan melakukan yang terbaik sebagai cucu yang kamu banggakan,”luah Leona.
Jumpa dalam mimpi…
Tambah Leona lagi, dia juga sangat berterima kasih kepada datuknya selain meluahkan rasa bertuah kerana menjadi seorang cucu kepada Datuk Pahamin Rajab yang sememangnya tiada tolak bandingan.
Leona juga berharap agar datuknya turut berbangga kerana memiliki salah seorang cucu seperti dirinya selain menyatakan dirinya akan sentiasa merindui dan menyayangi ‘Tok Pok’.
“I hope you’re resting well now. I love you. I miss you. I love you forever.
“See you in my dreams,”tulisnya lagi.
Sekadar info, Allahyarham Pahamin juga pernah berkhidmat dalam kementerian dan agensi kerajaan di Malaysia dalam tempoh lebih 30 tahun. Malah, beliau pernah menyandang jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bermula 1998 hingga 2001.
Selain itu, Allahyarham Pahamin turut dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada tahun 1974 hingga 1998 selain jawatan penting dalam beberapa syarikat seperti LNG Resources Bhd, Forlife Research Sdn Bhd dan Mediscreen Sdn Bhd.